Wednesday, 10 May 2017

CERITA DARIPADA BORNEO INTERNATIONAL MARATHON 2017

Pada asalnya Borneo International Marathon(BIM) 2017 saya rancang sebagai larian marathon pertama saya namun ia akhirnya menjadi yg kedua selepas Twincity Marathon pada 15 Jan 2017.




Mengikut cakap kawan-kawan dan komen-komen di atas talian, BIM dijangkakan lebih mencabar daripada segi laluannya. Masa pelepasan marathon penuh pada jam 3 pagi yg bermula di Stadium Likas akan melibatkan laluan berbukit kampus Universiti Malaysia Sabah yg paling mencabar selepas 25km sehingga 35km.Di jangkakan pada masa selepas 30km juga cuaca akan sudah mula panas dan cahaya matahari mula memancar memanaskan kepala para pelari.Laluan selepas kampus UMS pula lebih landai dan rata tetapi melalui jalan menyusuri jalan tepi pantai yang panas dan humid menuju ke Kompleks Stadium Likas semula.


PERSEDIAAN SAYA UNTUK BIM 2017

Saya mendaftar seawal bulan September 2016 dan mula merancang dan melakukan persediaan yg sewajarnya selepas itu.
Secara mentalnya saya lebih bersedia untuk berlari di BIM namun secara fizikalnya, persediaan saya tidak selancar untuk Twincity.Walaubagaimana pun pengalaman di Twincity memberikan saya lebih keyakinan untuk menangani cabaran-cabaran fizikal dan mental untuk berlari di BIM 2017.

Untuk BIM 2017  saya juga membeli topi dan vest yang baru.Saya jangkakan cuaca dan sinaran matahari lebih panas kerana daripada segi cuaca, matahari juga akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung. Ini juga merupakan kali pertama saya akan berlari dengan memakai topi.Vest yang baru pula ialah kerana penganjur hanya  menyediakan baju-T untuk acara dan untuk finishers sedangkan saya selesa berlari dengan vest.Ia juga sebagai penambah motivasi peribadi saya sempena penyertaan pertama saya untuk acara marathon di BIM dan luar semenanjung.



Perjalanan dan pengembaraan saya ke BIM dirancang bersama kawan-kawan larian saya daripada Anonymous Runners, Hussien, Yusnisa@Isey, Rizwan, Habib,Ismail@Mael dan Tharmen@TM.

Kami datang dengan penerbangan yang berasingan tetapi tinggal di hotel yang sama di TH Hotel.Cuma TM yg tinggal di hotel yg berbeza.

Penerbangan saya yang paling lewat manakala Habib,Hussien, Isey,Ismail dan Rizwan berlepas dengan penerbangan sebelah pagi.

Perjalan saya ke Kota Kinabalu(KK) bermula pada lebih kurang jam 12 tgh dari rumah pada hari Sabtu, 6 Mei.Ada hikmahnya rupa-rupanya bila penerbangan saya ditangguhkan daripada jam 11 pagi lebih ke jam 2.45 ptg.Disebabkan penangguhan itu saya dapat menghadiri hari penyampaian anugerah kecemerlangan dan graduasi tingkatan 5 anak sulong saya di sekolahnya pada sebelah pagi.Ini kerana tarikhnya ditetapkan setelah saya menempah tiket ke KK.

Isteri dan anak-anak saya menghantar saya ke KLIA utk saya menaiki penerbangan Malindo.


Bersama dengan sumber kekuatan sebenar untuk saya kekal sihat
dan cergas dengan terus berlari.

Sampai saja di KLIA saya terus memasuki kawasan berlepas sebab saya sudah buat pendaftaran masuk atas talian.


Ketika saya hendak makan di sana, saya berjumpa dengan TM yg sudah sampai lebih awal dari Melaka dan kami juga akan menaiki penerbangan yang sama ke KK.


Sepanjang penerbangan ke KK saya sempat tidur lebih daripada satu jam dan rasa lebih selesa sebab kebetulan tempat di sebelah saya juga kosong.

Merentasi Laut China Selatan untuk ke BIM 2017



Saya mendarat di Lapangan Antarabangsa KK seperti dijadualkan.Saya sudah mulai rasa teruja untuk BIM apabila sebaik sahaja saya dan TM melangkah kaki keluar dari pintu ketibaan, terdapat satu kain pemidang yang besar tentang BIM yang mengalu-alukan kedatangan para pelari.
Ketika menaiki kereta pemandu Uber ke hotel juga, pemandunya juga bercerita tentang BIM dan berapa ramai pelari yang telah menggunakan perkhidmatan dia sejak hari Jumaat lagi.


Selamat datang ke BIM 2017!
Pada sebelah petangnya, sebaik saja sampai, Isey, Rizwan dan Mael terus berlari di sekitar hotel dan menuju ke bandar. Saya ingatkan Hussien dan Habib pun turut serta tetapi mereka sedang tidur sebaik saja saya sampai dibilik. Selepas berehat sebentar, kami pun mengambil perkhidmatan Uber peri ke bandar untuk makan malam.
Pada malam itu kami berenam sama-sama ke luar ke bandar KK untuk makan malam secukupnya untuk mendapat bekalan tenaga yang secukupnya untuk larian pada esok harinya. Sesi ini juga dikenali sebagai carboloading di kalangan pelari-pelari. Semuanya makan agak banyak dan kami makan di restoren Secret Recipe di Warisan Square kerana menu yang ada lebih sesuai untuk persediaan untuk berlari seperti makanan-makanan yang berasaskan pasta dan  yang tidak bercili.


Masa mengumpul tenaga!

Hidangan carboloading saya
Selepas selesai  makan malam, kami pun bergerak balik ke hotel.Pada asalnya kami ingin menggunakan Uber sekali lagi tetapi akhirnya kami buat keputusan untuk berjalan saja kerana menurun kawan-kawan yang berlari datang ke bandar tadi, jaraknya hanya lebih kurang 2-3km ke hotel dan laluannya agak mudah untuk kami berjalan. 

Dalam perjalanan balik ke hotel juga kami bercadang untuk singgah di mana-mana kedai untuk membeli bekalan air mineral, air isotonik/tenaga dan makanan-makanan yang kami rasa perlu untuk kegunaan kami sebelum larian pada esok paginya.

Dengan panduan GPS pada telefon, kami berjalan dan singgah di satu pasaraya untuk membeli barang-barang yang diperlukan tadi. Selepas itulah, kami mula kurang jelas tentang laluan sebenar yang perlu diikui dalam cuaca malam  dan trafik yang agak sibuk untuk menyeberang jalan walaupun dengan panduan GPS.

Agak melucukan juga bila kami semua sampai ke penghujung satu laluan yang mati  dan kami terpaksa menyeberangi kawasan berumput, kemudian melompat untuk melintasi longkang dan penghadang jalan untuk teruskan perjalanan kami ke hotel. 

Yang lebih melucukan lagi ialah tangan kami terpaksa memegang beg plastik yang penuh dengan botol-botol air dan barangan lain sambil melakukan semua itu. Kami juga sama-sama tergelak bila memikirkan keadaan kami ketka itu dalam kumpulan berjalan di tepi jalan sambil beg plastik di tangan yang hampir sama dengan sekumpulan pekerja-pekerja asing Bangladesh yang biasa kami nampak yang dalam perjalanan balik membeli barang keperluan dan berkejaran balik menuju ke asrama mereka. Ha! Ha! Ha!



Sampai saja di bilik saya terus pasang bib pada vest dan siapkan benda-benda yang lain sebelum tidur lebih kurang pukul 9.30 malam.

Saya bangun seawal jam 12.30 pagi pada 7 Mei untuk bersiap kerana kami merancang untuk bertolak dari hotel lebih kurang jam 1.30 pagi.



Dengan menggunakan perkhidmatan teksi Uber kami sampai di Stadium Likas lebih kurang hampir jam 2 pagi.





Antara perkara yang paling unik pada BIM kali ini bagi saya yang menyertainya buat kali pertama ialah ia di adakan di stadium dan penamat larian marathonnya juga ialah di dalam stadium itu juga.
Saya berasa sangat teruja dengan suasana yang terasa begitu gah dan luarbiasa kemeriahannya sebaik sahaja saya dan kawan-kawan masuk ke dalam stadium. Ketika saya masuk ke dalam stadium dengan Hussien, kami juga berjumpa dengan seseorang yang amat di kenali iaitu Mohd Azmi @ GME dan sempat juga berswafoto dengan beliau. 
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk membuat rakaman video pendek tentang suasana yang amat mengujakan ketika saya berada di dalam stadium ketika itu.












Lebih kurang jam 2.20 pagi saya bergerak ke tempat pelepasan yang berada di luar stadium. Jika saya tidak silap, lebih kurang 2,500 peserta yang menyertai kategori marathon penuh pada kali ini.
Sebaik sahaja sampai di kawasan pelepasan saya terus melakukan senaman-senaman meregangkan dan memanaskan badan selama lebih kurang 10 minit.Ketika itu, tiba-tiba seorang kawan FB menegur saya, Ikhmil Farisz.Dia memperkenalkan diri dia dan akhirnya kami berjumpa juga buat kali pertama.

Aimil Fariz

Sampai di tempat pelepasan



Saya berjalan masuk ke dalam kawasan pelepasan lebih kurang 15 minit sebelum pukul 3 pagi.
Penganjur juga mengadakan sesi ringkas untuk memanaskan badan untuk semua peserta lebih kurang dalam masa yang sama.
Ketika menunggu untuk dilepaskan sempat juga saya berbual dengan seorang pelari lelaki yang juga dari KL untuk berlari marathonnya yang keempat.

Di dalam kawasan pelepasan dan bersedia untuk dilepaskan.



LARIAN SAYA...
Strategi larian saya pada kali ini masih sama seperti ketika Twincity
Perbezaannya cuma yang mahu cuba menambah jumlah km dengan pace 6 pada separuh pertama daripada jarak 42km yang perlu dihabiskan.

Para pelari dilepaskan tepat pada jam 3 pagi dan saya bermula dalam kelompok 1/3 yang pertama daripada garis permulaan.
Dalam suasana yang sesak selepas dilepaskan, saya terpaksa berjalan sahaja dulu lebih kurang 100 meter sebelum mula berlari perlahan-lahan. Saya terpaksa berlari dengan perlahan sehingga jarak hampir 1km sebelum mempunyai ruang untuk berlari seperti biasa sehingga saya dapat menstabilkan rentak larian saya pada pace 6 seperti yang saya rancangkan selepas melepasi jarak 2km. Saya juga memulakan larian dalam keadaan berwuduk supaya saya hanya boleh terus  berhenti untuk solat Subuh seperti yang saya lakukan ketika Twincity. Sebabnya ia adalah lebih lancar dan mudah untuk berhenti,mengambil wuduk dan solat.

Kebiasaannya bekalan air yg disediakan di tempat solat sementara di laluan juga agak terhad dan berkemungkinan juga perlu ambil masa untuk mengambil wuduk dan menunggu giliran untuk solat lagi.
Mengikut peta laluan BIM 2017, surau sementara ada disediakan di km ke 17.
Saya tidak berhenti di stesen  air pertama pada jarak lebih kurang 3km lebih kerana masih segar dan selesa untuk teruskan larian.

Namun selepas itu pada lebih kurang 4km lebih, saya tiba-tiba merasa ingin buang air kecil yang amat kuat. Saya cuba tahan dan berharap agar dapat bertahan sehingga ke stesen air seterusnya.Walaupun begitu saya masih dapat mengekalkan rentak larian saya seperti sebelumnya.

Lega rasanya bila saya nampak ada tandas bergerak disediakan di stesen air seterusnya tetapi sudah ada lebih kurang 4 orang yang menungu di 2 unit tandas yang ada.Saya menunggu selama beberapa minit dan ketika menunggu itu juga rasa sakit itupun mulai kurang.Memandangkan saya rasa saya sudah menunggu agak lama, saya terus buat keputusan untuk teruskan larian dan berharap akan ada stesen minyak di laluan yang seterusnya atau jika boleh bertahan hingga ke stesen air yang seterusnya.Kemudian saya ternampak kawan larian dari Kuching, Cikgu Lee  yang jauh lebih veteran di depan saya dan saya sempat menyapa beliau sebelum melepasi dia.

Hingga pada jarak ini, saya juga ada terserempak kawan-kawan larian dari semenanjung seperti  dengan pelarian veteran abang Azman Ali dan seterusnya Azian Baharuddin ketika saya melepasi mereka.

Akhirnya saya dapat buang air kecil di stesen air ketiga.Saya rasa lebih selesa dengan larian saya selepas itu dan rasa lega kerana masih berjaya mengekalkan larian pada pace 6 secara purata. Nampak gayanya saya perlu juga berhenti untuk berwuduk selepas itu.

Namun kelegaan saya tidak lama sebab lebih kurang 2km selepas itu, rasa ingin buang kecil  yang kuat tiba-tiba datang semula.
Ini adalah sesuatu yang saya tidak alami ketika larian marathon pertama saya dulu.Ketika itu saya berhenti solat selepas km 21 dan hanya mula berhenti buang air kecil lebih kurang di km ke 24 jika saya tidak silap.
Saya teruskan juga larian saya sambil menahan sakit untuk buang air kecil walaupun dalam keadaan yang amat tidak selesa.
Saya berhenti sekali lagi di stesen air seterusnya dan teruskan larian.Masih lega kerana masih kekal dalam pace 6 walau sudah makin hampir ke pace 7.

Ketika lebih kurang di km ke 15 saya nampak stesen minyak dan saya terus buat keputusan untuk buang air kecil juga walaupun tiada rasa yang mendesak di stesen itu dan mengambil wuduk sekali supaya saya boleh terus solat subuh di km ke 17 selepas itu.

Larian saya selepas itu juga masih lancar sehinggalah ke stesen air yang berikutnya di mana surau sementara juga disediakan.
Rasa ingin buang air kecil juga sudah beransur-ansur kurang akhirnya.Pengalaman baru berhadapan dengan rasa kerap mahu buang air kecil ini betul-betul mengejutkan saya dan kelam-kabut juga saya memikirkan ketika larian saya masih lagi belum mencecah separuh jalan.

Secara keseluruhannya hingga ke km yang ke 20 larian saya masih dalam kawalan saya sepenuhnya.Saya agak terkejut juga bila saya masih berjaya mengekalkan pace 6 secara purata hingga melepasi km ke 21 sebelum otot betis saya mula terasa penat.
Seperti biasa saya juga memakan salt stick 45 minit sebelum larian bermula dan mengambilnya semula ketika lebih kurang km ke 11 dan setiap lebih kurang 10km seterusnya untuk mengelakkan kekejangan otot atau cramped muscle

Sebelum saya melangkaui jarak 21km juga, jika saya tidak silap kawan saya Azian memotong saya  semula dan seterusnya saya di tegur dari belakang oleh kawan lama saya dari UKM dulu dari Sarawak Cassidy Morris. Saya nampak dia berlari dengan agak lancar memotong saya dengan 2 orang lagi kawannya dan dia juga berpesan agar dapat berjumpa saya di garisan penamat nanti. Cassidy juga ialah salah seorang yang memberikan saya inspirasi dan mula bersemangat untuk mencuba larian marathon penuh dengan kemas kini tentang larian-larian dia di FB sebelum saya mula berlari dan sesudah saya memasuki acara larian pertama saya. Saya juga beberapa kali berjumpa dengan Cikgu Lee sebelum itu juga dan meninggalkan beliau tidak berapa jauh di belakang dan saya jangkakan dia sudah memotong saya semula ketika saya berhenti untuk solat Subuh di km ke 17.

Sepanjang larian kali ini saya memakan 3 salt stick jenis kunyah dan hasilnya tiada langsung tanda-tanda mahu kejang saya alami sehingga saya tamatkan larian. Apa yang saya pelajari daripada pengalaman dalam larian-larian sebelum ini, dengan pemanasan dan regangan badan yang cukup sebelum memulakan larian, penghidratan dan pengambilan garam yang cukup sebelum dan semasa larian, masalah kekejangan otot boleh saya elakkan. Jadi, masalah kekejangan otot bukan sesuatu yang amat saya risaukan pada kali ini dengan persediaan untuk mencegahnya yang telah saya lakukan.

Dengan prestasi larian saya yang berjalan lancar seperti saya rancangkan, ia memberi saya semangat dan keyakinan untuk menghadapi jarak separuh kedua larian kali ini walaupun saya sedar tiada jaminan ia akan terus lancar bagi jarak yang seterusnya.

Keseronokan saya yang mula menikmati pengalaman berlari di BIM 2017 mula terasa diuji apabila melalui jalan berbukit menuju ke stesen air di km ke 24. Larian menaiki bukit itu mula menimbulkan rasa sakit di buku lali pada kedua-dua belah kaki saya. Saya menjangkakan ianya cuma rasa sakit yang biasa yang tidak akan mengganggu sangat larian saya.

Secara peribadi saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk penyertaan pernah BIM pertama saya, saya mula dengan baik untuk separuh pertama 42km hari ini di mana saya dapat mengekalkan kadar purata pace 6 sepanjang separuh pertama yang tiba-tiba memberikan saya perasaan yang baik untuk melakukan lebih baik daripada 5hrs 26 minit di Twincity dalam bulan Januari.

Apa yang saya tidak sangka ialah bagaimana cepatnya pergelangan kaki untuk kedua-dua belah kaki saya "menyerah"pada kali ini.

Selepas berhenti sekejap untuk minum di km ke 24 itu saya teruskan larian menuruni bukit.Pada kebiasaannya ketika laluan menurun bukitlah saya akan gunakan untuk menebus kehilangan masa setiap kali larian yang lebih perlahan untuk menaiki bukit. Namun selepas beberapa puluh meter saya rasakan kesakitan di pergelangan kaki semakin kuat setiap kali kaki saya mencecah permukaan jalan walaupun saya masih mengekalkan teknik mendaratkan kaki tengah(midfoot landing) yang sudah selesa amalkan selama ini.

Ketika menuruni bukit ini juga saya  sempat menegur seorang pelari yang sama-sama memperlahankan larian. Rupa-rupanya dia juga berasal dari Negeri Sembilan seperti saya.Dia juga kelihatan seolah-olah dalam kesakitan juga dan saya bertanyakan dia kenapa. Dia kata terasa seakan mahu kejang otot dan saya bertanya dia sudah makan salt stick ke tidak. Dia kata sudah sebelum mula berlari tadi dan saya bertanya lagi adakah dia ada bekalan salt stick, Jawapannya ialah dia tidak ada bawa dan saya tawarkan satu salt stick yang saya ada pada dia.Pada mulanya dia agak keberatan tetapi saya minta juga dia makan dengan harapan akan elakkan kejang otot berlaku pada dia dan akhirnya dia setuju. 

Sempat juga kami berbual-bual dan berlari bersama-sama lebih kurang 1km  sebelum dia mula meninggalkan saya yang makin bergelumang menangani sakit kaki saya. Saya rasa lega dia nampak selesa teruskan larian dia. Kebetulan saya memang ada bawa sedikit salt stick tambahan dengan saya pada kali ini. Sebelum dia tinggalkan saya sempat juga dia cakap tentang laluan yang paling mencabar seterusnya iaitu di kampus UMS yang berbukit yang dia pernah lalui  ketika menyertai BIM sebelum ini.


Saya tidak mempunyai masalah dengan otot di betis, lutut dan pinggul seperti yang saya lakukan masa lalu tetapi pada selepas km ke 24 itu pergelangan kaki saya mula menunjukkan tanda-tanda "kalah" dan mula membawa  masalah kepada larian saya. 

Ia  berlaku selepas 30km di Twincity dan saya sudah bersedia dengan  diri saya sendiri untuk itu. namun apabila ia berlaku terlalu awal pada kali ini dan agak mengejutkan saya. Selepas itu juga saya melihat cahaya matahari sudah mula memancar terang dan saya mula memakai topi yang sebelum itu saya sangkutkan di tali beg pinggang saya.

Yang paling menambah cabarannya selepas beberapa km selepas itu adalah kampus UMS, laluan yang paling menyeksa seluruh 42km di antara kira-kira 28-34km. Saya cuba untuk kekal untuk berlari  dengan pace 6-7 selepas 24km tetapi hanya dapat mengekalkannya sehingga kira-kira km ke 26 dengan sakit yang semakin mencengkam.

Untuk kali pertamanya dalam laluan BIM 2017 saya  berswafoto dan berkongsinya di akaun instagram dan FB saya.
.
Senyuman kepuasan dalam kesakitan ketika sudah melepasi separuh jalan BIM 2017

Saya juga ada berhenti di tepi jalan sebanyak dua kali dalam selang jarak 1km selepas itu dan membuka kasut untuk mengerak-gerakkan kaki saya untuk melegakan sedikit sakitnya.Saya juga cuba longgarkan ikatan tali kasut saya dan menyelaraskan semula pelapik dalamannya dengan harapan ia akan melegakan sedikit sakit ketika saya mahu teruskan larian.Namun usaha-usaha saya itu tidak berapa berhasil kerana rasa sakit kaki saya masih berterusan sebaik saja saya memulakan larian semula.


Akhirnya selepas saya mula praktikkan sepenuhnya teknik fast walk and run selama lebih kurang 2-3 km, saya sampai ke pintu masuk utama UMS.Ketika sampai saya juga nampak papan tanda arah untuk para pelari separuh marathon yang menunjukkan tanda 8km daripada 21km.Pada masa yang sama saya juga nampak ada pelari-pelari yang berlari menuju arah keluar dari kampus yang jangkakan campuran antara para pelari marathon penuh.

Memasuki kampus UMS

Jalan utama memasuki kampus


Selepas melalui bulatan menuju ke kanan selepas pintu masuk utama ialah laluan berbukit yang paling jauh dan curam yang perlu dihadapi. Tekanan daripada segi mental makin kuat saya rasai pada masa ini kerana bila sudah berlari bersama dengan para pelari separuh marathon, emosi saya secara semulajadi akan berubah setiap kali saya melihat pelari yang masih berlari tetapi tidak berapa pasti mereka dalam kategori separuh marathon atau marathon penuh. 

Ia menambahkan tekanan saya untuk kekal berlari dan terasa sedikit terganggu secara emosi jika saya hanya berjalan.
Ini di tambah pula bila berlari ke satu arah dan pada masa yang sama kita nampak pelari-pelari lain yang berlari ke arah yang bertentangan   yang sudah menyelesaikan laluan yang kita pula akan hadapi.

Walaubagaimana pun jalan menuju ke atas laluan berbukit yang pertama di UMS itu agak meriah di mana terdapat stesen air dan penaja makanan sampingan pelari di sebelah yang lagi satu. Suasana agak hidup dengan suara sorakan para petugas di stesen-stesen itu dan juga sesama pelari yang kelihatan agak ramai yang sedang melalui laluan itu di kedua-dua hala.

Laluan menaiki bukit yang pertama di kampus UMS



Kemudian, sebaik sahaja saya mula cuba mendaki laluan berbukit itu, pergelangan kaki saya akhirnya mula menyerah perlahan-lahan langkah demi langkah sehinggalah penanda km ke 30 dapat saya lihat dan sentuh di puncak laluan menaiki bukit itu.Dalam perjalanan ke atas itu juga saya sempat membuat rakaman video pendek dan mengambil gambar swafoto lagi  dengan telefon pintar saya.

Pada masa yang sama saya mula keliru dengan cara bagaimana harus bertindak balas apabila setiap kali saya mahu menggerakkan pergelangan kaki saya untuk setiap langkah, ia berasa seperti sendi saya sudah terkunci dan setiap kali kaki saya menyentuh permukaan jalan raya, rasanya hanya semata-mata kesakitan.

Laluan di dalam kampus UMS amat-amat menguji kekuatan mental dan fizikal saya sejak pendakian laluan berbukit yang pertama. Ada beberapa tempat saya berhenti dan saya ada mula memikirkan untuk berhenti saja kerana rasa sakit setiap kali saya menggerakkan kaki saya untuk berlari terasa seolah-olah tak mampu lagi saya tanggung.
Laluannya melibatkan jalan-jalan yang menurun dan menaiki bukit silih berganti walaupun ada juga jalan-jalan yang agak landai walaupun jaraknya tidak jauh. 

Pada saat-saat sakit begitu, saya hanya dapat  rasakan badan saya secara fizikal sedang bermain tarik tali dengan fikiran saya sama ada untuk teruskan atau hentikan saja. Ia berlarutan ketika saya masih bergelut dengan kesakitan itu ketika setiap langkah saya hayunkan untuk berlari dan berjalan. Pada satu sudut, fikiran saya cuba berkata bahawa tiada salahnya saya menyerah pada kali ini kerana saya boleh anggap kegagalan kali ini boleh memberikan saya pengajaran untuk berlari dengan lebih baik pada larian marathon yang akan datang iaitu SCKLM 2017. Pada satu sudut lain pula, ia berkata apa gunanya saya datang sejauh ini ke KK dan telah berlari sejauh lebih 30km hanya untuk pulang tanpa menghabiskan larian saya. Ia seolah-olah satu "peperangan" dalam diri saya yang perlu saya tangani dan buat keputusan secepat yang mungkin.

Jadi, bagaimana saya berjaya mengatasinya pada kali ini?
Saya buat keputusan untuk teruskan bila memikirkan sakit yang saya rasai juga berkemungkinan berpunca daripada salah saya juga keran tidak cukup berdisiplin untuk bersedia dengan sebaik-baiknya. Saya juga rasa saya telah terlalu memfokuskan tentang larian selepas 30km semata-mata berdasarkan pengalaman saya di Twincity.Jadi bila saya ada hadapi masalah ini lebih awal yang saya jangkakan, saya tidak berapa bersedia untuk menghadapinya dan membuat keputusan segera.

Jadi, apa yang telah saya lakukan?

Diversion ... saya melakukan sesuatu yang akan menolak sekuat-kuatnya fikiran saya untuk melupakan kesakitan yang sedang saya rasai agar ia dapat hanya memberi tumpuan kepada menikmati setiap km yang saya akan lalui untuk sampai ke garisan penamat.
Secara keseluruhannya saya lebih banyak praktikkan strategi jalan cepat dan berlari dengan amat perlahan  saja ketika dalam kampus UMS. Saya cuba sedaya upaya saya untuk berlari perlahan setiap kali melalui jalan yang rata dan menuruni bukit. Ketika melintasi UMS juga cuaca mula semakin panas dan cahaya matahari makin terik memancar ke kepala.Namun suasana masih baik di dalam kampus kerana terdapat bangunan-bangunan dan pokok-pokok dalam kampus yang menberi teduhan pada sesetengah laluan.

Saya rasa amat lega juga dengan keputusan saya untuk membeli dan memakai topi pada kali ini kerana ia memang terbukti dapat melindungi kepala saya daripada panasnya pancaran terus cahaya matahari dan mengurangkan silau mata saya yang berkaca mata ketika berlari. 

Ternyata pengajaran yang saya ambil daripada pengalaman berlari marathon pertama di Twincity di bawah cuaca panas terik bermula daripada km ke 30 amat-amat berguna kali ini.

Satu perkara yang saya mesti puji penganjur BIM 2017 ialah dengan jumlah stesen-stesen air dan kemudahan-kemudahan sokongan yang disediakan di setiap stesen untuk para pelari. Saya dapat perhatikan stesen air disediakan setiap lebih kurang 3km dengan kemudahan-kemudahan  seperti air mineral dan air isotonik, pisang, ais dan span basah(sesetengah stesen), tandas bergerak dan yang paling membantu saya selepas km ke 24 ialah semburan kepada otot untuk melegakan rasa sakit untuk semua pelari

Selepas stesen air di km ke 24 saya meminta mereka menyembur pada betis dan pergelangan kaki saya pada setiap kali saya sampai di stesen air. Ia memang melegakan otot saya sedikit serta-merta untuk saya terus berlari walaupun kesanya tidak lama sangat.

Ketika saya melihat papan tanda yang saya telah menghabiskan jarak 32km di dalam kampus UMS, saya tahu yang 10km terakhir itu akan merupakan 10km yang terpanjang yang perlu habiskan. 

Ketika Twincity, 10km terakhir merupakan laluan yang lebih landai dan panas dengan pancaran matahri yang  sudah naik tinggi di Cyberjaya tetapi ketika mencecah masuk ke dalam 10km terakhir BIM 2017, saya sedang bergelut dengan kesakitan di pergelangan kedua-dua belah kaki saya. 

Pada ketika itu, saya langsung tidak memikir tentang masa terbaik lagi kerana apa yang terbayang dalam fikiran saya ialah bagaimana untuk saya habiskan larian saya sahaja.Pada jarak 32km itu, masa yang saya catatkan sudah hampir mencecah 4 jam setengah dan sudah rasa mustahil untuk berlari lebih laju dalam kurang daripada satu jam untuk 10km berikutnya untuk mendapatkan masa yang lebih baik daripada Twincity. 

Pada masa inilah tagline FORGET THE PACE, JUST RUN betul-betul seirama dengan minda dan fizikal saya untuk meneruskan larian saya hingga tamat.

Dalam perjalanan sambil berjalan dan berlari di laluan menurun yang terakhir sebelum menuju ke luar dari kampus UMS, saya sempat berbual pendek dengan pelari lelaki Cina yang lebih muda dari Sabah yang sedang berlari marathon penuh yang pertama. Tidak lama kemudian, dia pun perlahan-lahan hilang daripada pandangan di hadapan saya.

Kemudian kampus UMS saya tinggalkan dan apa yang menanti selepas itu ialah laluan yang lurus di bawah pancaran panas terik matahari. Saya nampak kebanyakan pelari hanya berjalan dan yang berlari cuma berlari perlahan untuk meneruskan larian. 

Kampus UMS yang meliputi jarak lebih kurang km ke 28 hingga ke km ke 34 ditinggalkan juga akhirnya. Pengalamannya memang cabaran yang terbesar seperti yang digambarkan kepada saya sebelum ini sehingga saya juga hampir-hampir "tersungkur" menyerah kalah. 

Secara positifnya, ia juga telah menjadi satu sesi latihan dan pengalaman yang baik untuk saya lebih bersedia menghadapi SCKLM 2017 pada 21 Mei 2017 di mana laluan pada 10km terakhir yang melibatkan jalan-jalan di Bukit Tunku di KL yang juga berbukit-bukit seperti yang kerap diceritakan oleh kawan-kawan saya sebelum ini.

Entah macam mana, rasa sakit di pergelangan kaki saya mula berkurangan selepas saya berlari dan berjalan selepas lebih kurang 1km meninggalkan pintu masuk utama kampus UMS. 

Kemudian saya ternampak seorang lagi pelari lelaki muda yang sedang berlari dan berjalan dalam kesakitan. Saya tanya sudah kejang atau mahu kejang dan dia menjawab rasa mahu kejang otot betis. Saya tanya lagi adakah dia nakkan salt stick yang saya teruskan hulurkan pada dan dia pada teragak-agak mahu ambil. Takut saya tak cukup katanya.Saya kata saya masih ada satu lagi dan sudah cukup untuk saya sampai ke penamat dan akhirnya dia ambil dan terus menelannya. Selepas itu saya teruskan larian saya dan tinggalkan dia di belakang dan berharap dia akan baik saja untuk tamatkan larian.

Memasuki km ke 36 saya sudah mula lebih banyak berlari semula berbanding berjalan walaupun cuaca semakin panas. Ini kerana rasa sakit dipergelangan kaki saya dapat saya lupakan sedikit dengan hanya memfokuskan fikiran saya tentang garisan penamat.

Sejak keluar dari kampus UMS, saya juga terserempak dengan seorang pelari lelaki yang memakai pakaian yang agak unik seperti kawan-kawan larian yang saya kenal iaitu Mohd Azmi @ GME dan juga TM. Pelari ini berlari dengan pakaian dengan mantel hitam dan penutup bahu seperti batman  dan topi seperti kepala burung. Saya nampak dia betul-betul mendapat perhatian di sepanjang laluan ke garisan penamat itu. Ada yang mengajak dia mengambil gambar dan ada yang bersorak dan bertepuk tangan apabila melihat dia lalu. Memang menarik!

Larian sepanjang selepas meninggalkan kampus UMS agak stabil dan kurang menyakitkan kaki saya kerana jalannya agak rata walaupun cuaca masih semakin panas kerana pancaran sinaran matahari. Saya cuba buat aktiviti sampingan seperti berswafoto lagi pada sepanjang laluan tersebut. 

Pada satu tempat ketika di bulatan, ada beberapa orang lelaki dengan pakaian tradisional bajau berbaris sambil bersorak memberi semangat kepada para pelari. Saya juga sempat berswafoto dengan mereka.

Selain daripada itu saya juga menikmati pemandagan di tepi pantai selepas melepasi jalan di mana saya dapat melihat bangunan mercu tanda yang terkenal iaitu bangunan Yayasan Sabah.

Kumpulan sorak dengan pakaian tradisional


Berswafoto sambil menikmati pemandangan pada 10km terakhir





Ketika memasuki km ke 5 yang terakhir saya ternampak semula pelari dari Negeri Sembilan yang saya berbual tadi tetapi kali ini saya nampak dia mula berlari perlahan ke tepi dan tidak sempat pula saya menegur dia pada masa itu. Saya cuma berharap dia akan baik sahaja juga.

Suasana juga menjadi semakin hidup kerana bilangan pelari yang kelihatan semakin ramai memandangkan garisan penamat sudah semakin hampir. Walaupun rasa sakit kaki saya semakin kurang, saya buat keputusan untuk tidak terlalu mendesak diri saya untuk menambahkan kelajuan lagi setiap kali saya berlari untuk mengelakkan sakitnya yang kuat sebelum datang semula atau mencederakan  otot saya. 

Sejak meninggalkan kampus UMS apa yang saya buat ialah saya berlari perlahan sejauh lebih kurang 500 meter dan selepas itu saya berjalan pantas dan begitulah seterusnya saya ulang hingga ke stadium. Pada setiap stesen air juga saya pastikan pergelangan kaki saya disembur dengan semburan untuk melegakan sakit otot oleh petugas yang sentiasa bersedia.

Ketika di bulatan terakhir di mana para pelari membelok ke kiri untuk memasuki laluan 2km yang terakhir menuju ke Stadium Likas, suasana menjadi semakin meriah dan hidup dengan trafik juga semakin sibuk dengan kenderaan. Saya dapat ada juga pelari yang sudah berjalan balik ke kenderaan masing-masing selepas menamatkan larian mengikut kategori mereka.
Pada ketika itu, fikiran saya sudah terbayangkan saat-saat saya menghampiri dan memasuki stadium untuk melalui trek sambil berlari menuju ke garisan penamat. 

Perlu saya nyatakan juga pujian saya kepada penganjur dengan kawalan trafik yang amat cemerlang oleh para petugas dan polis trafik di sepanjang laluan mula hingga ke penamat 42km.

Suasana memang agak sibuk sebaik sahaja saya melalui jalan untuk memasuki pintu stadium.Saya lihat ramai pelari yang sudah menamatkan larian mereka di ruang-ruang di sekitar luar stadium sambil berbual-bual, bergambar dan bermacam-macam lagi. Belokan ke kiri  terakhir saya mengikut arah yang ditunjukkan oleh petugas terus menghalakan larian saya masuk ke dalam stadium. 

Dengan penuh gementar dan terujanya saya berlari melangkah ke dalam stadium. Sebaik sahaja kaki saya menyentuh permukaan trek dalam stadium, secara tiba-tiba saya rasa seolah-olah segala rasa sakit dan penat yang saya rasa sebelum itu terus hilang begitu saja. 

Saya terus berlari tanpa memikirkan apa-apa perkara lain lagi pada ketika itu selain daripada untuk merentasi garisan penamat yang semakin hampir. Perasaan teruja saya pada saat-saat itu mungkin lebih sedikit sebab buat pertama kalinya saya menamatkan  larian marathon saya di dalam stadium kerana selama ini saya hanya melihat pelari-pelari di acara-acara sukan seperti sukan Olimpik atau dalam filem sukan saja yang menamatkan larian mereka dalam stadium.

Hanya para pelari marathon sahaja yang memahaminya dan ketika itu juga saya semakin memahaminya iaitu apakah ertinya ketika saya mengangkat kedua-dua tangan saya ke udara beberapa meter sebelum garisan penamat dan ketika badan saya melepasinya. 

Satu lagi kejayaan menamatkan 
larian marathon!
Ia juga membuktikan...
...yang saya sihat dan cergas untuk masih mampu  melakukannya!
...yang saya masih mampu menikmati larian saya di sebalik segala kesakitan dan cabaran yang menguji pada sepanjang laluan 42km itu dan; 
...bahawa pengalaman menjadikan saya lebih tenang dan matang dalam menangani cabaran-cabaran dalam larian saya di sebalik persediaan yang kurang sempurna berbanding larian yang sebelumnya.

Masa tidak rasmi yang dicatatkan adalah lebih kurang 5 jam 40 minit sebaik saja saya melihat aplikasi NRC di telefon pintar saya sebaik saja saya melepasi garisan penamat tetapi angka-angka masa itu bukanlah perkara yang paling penting  pada saya ketika itu. 

Masa itu juga tidak termasuk masa setiap kali  saya berhenti di stesen-stesen air, buang air kecil, solat Subuh dan lain-lain lagi kerana aplikasi NRC saya berada dalam tetapan auto-pause. Masa rasmi pula ialah 5 jam 56 minit. 

Saya berjaya melakukannya sekali lagi dan kali ini ianya di bumi Sabah Negeri di bawah bayu.


Saya juga berada dkedudukan ke 314 daripada keseluruhan 509 peserta lelaki veteran dan daripada 492 yang menamatkan larian dalam COT. 

Dengan serta merta selepas itu saya meminta tolong kepada salah seorang petugas di garisan penamat mengambil gambar saya ketika itu. Tiga keping gambar di bawah ialah gambar-gambar yang menunjukkan betapa puasnya perasaan saya dengan apa yang telah berjaya dan atasi hingga saat itu.

Rasa sakit pergelangan kaki yang menyiksa saya mulai km ke 24  dan hampir  membuatkan saya menyerah ketika melalui kampus UMS seakan hilang begitu saja seperti yang saya gambarkan pada ketika gambar-gambar itu di ambil di garisan penamat.

Saat-saat selepas saja melepasi garisan penamat



Selepas mengambil gambar, saya bergerak terus untuk mendapatkan pingat  dan baju finisher saya. I have truly earned it!
Kemudian saya dapatkan air dan diberi juga snack oleh petugas di kawasan selepas garisan penamat di atas trek stadium itu. Hanya selepas itu saya duduk untuk melegakan badan saya sebentar sambil  minum air dan makan selama beberapa minit.

Selepas itu saya telefon Isey kerana saya yakin dia dan Hussien sudah pun sampai. Isey menjawab panggilan saya  dan dia kata dia ada bersama Mael menunggu di satu tempat di stadium itu juga. Saya terus berjalan mencari tempat itu. Dalam perjalanan sebaik saja saya keluar dari kawasan trek stadium dan selepas mengambil barang saya di tempat luggage drop , saya terserempak dengan Azian yang sudah bersiap menukar baju untuk balik ke hotel. Dia berjaya menghabiskan lariannya lebih awal daripada saya dan kami juga sempat sekali lagi bergambar bersama selepas berjumpa di Pahang International Marathon pada bulan Mac.


Dengan Azian Baharuddin
Selepas itu saya tengok nampak ada pesanan dalam Whatsapp daripada Cassidy dan saya hubungi dia untuk mencari di mana dia dan dia masih berada di dalam kawasan trek stadium. Sebelum itu, saya berjumpa Isey dan Mael yang sedang berehat di atas kerusi di tepi laluan masuk ke trek stadium. Saya diberitahu ketika itu mereka masih menunggu Hussien, TM, Riwzan dan Habib.

Saya tinggalkan barang saya dengan mereka sekejap dan pergi mencari Cassidy.
Saya berjumpa Cassidy di trek dan dia ada bersama dengan Cikgu Lee dan seorang lagi kawan beliau yang juga berjaya menamatkan larian. Sambil berbual-bual dan bertukar cerita tentang larian masing-masing, seperti biasa dan perkara yang paling menyeronokkan untuk dilakukan setiap kali selepas larian ialah mengambil gambar bersama. Saya amat kagum dengan Cikgu Lee kerana dengan usia beliau yang tua lebih 10 tahun daripada saya, beliau masih amat sihat dan mampu menamatkan larian marathon jauh  di bawah masa masa penamat(cut off time atau COT) yang ditetapkan iaitu 7 jam.

Ketika di sini juga saya jumpa Hussien yang sudah menamatkan lariannya dan masih menunggu di sana untuk bertemu kawan-kawan lariannya yang lain dan abang beliau. Yang menariknya pada kali ini, sekali lagi abang beliau yang sudah pun berusia 63 tahun juga menyertai BIM 2017 dan datang dari Tawau. Saya juga diberitahu pada kali ini abang beliau tamatkan lariannya lebih awal daripada Hussien sendiri yang baru saja berusia 47 tahun.
Dari kiri: Cikgu Lee, kawan baru dan Cassidy












Kemudian saya pergi kembali ke tempat Isey dan Mael menunggu. Ketika menunggu itu sempat juga saya terserempak dengan kawan-kawan larian yang lain dari Semenanjung seperti Dak Aun, Nicx Ryme, Azman Ali dan lain-lain lagi yang saya kurang ingat nama mereka.

Ketika mahu bergambar dengan Dak Aun tiba-tiba seorang lagi kawan yang saya cuma kenal di FB menegur saya iaitu Mohd Fazrin Razali yang menamatkan larian separuh marathon pada kali ini.
Selepas itu, saya dapat juga berkenalan secara in-person dengan seorang lagi kawan FB iaitu Aizat Yanan yang juga suka berpakaian unik di kepala pada setiap acara larian yang disertainya. Tahniah juga kepada beliau kerana berjaya juga akhirnya menamatkan larian marathon penuh di bawah COT pada percubaan yang keempat beliau.


Dari kiri: Mohd Fazrin dan Dak Aun

Dengan Aizat Yanan


Kemudian saya dan yang lain-lain terus menunggu ketibaan kawan-kawan yang lain. Seterusnya Rizwan pun sampai dan yang agak lucu dan mengkagumkan ialah dia sempat tidur lebih kurang satu jam di satu tempat di laluan dan masih mampu menamatkan larian di bawah COT. Memang menarik!

Kemudian masa COT telah sampai dan tidak lama selepas itu TM pun sampai dengan pakaian tradisional kaum peribumi Sabahnya. Dia juga baru pulih daripada kecederaan dan seperti biasa  masih seronok kerana masih berjaya menamatkan lariannya di BIM pada tahun ini.

Seterusnya hanya Habib yang masih belum sampai. Ketika menunggu Habib kami dapat tengok ada sedikit kekecohan yang berlaku dan daripada apa yang kami dengar ianya berkenaan ada para pelari yang menamatkan larian marathon penuh melepasi COT tidak berpuas hati kerana tidak diberikan pingat. Bila melihat keadaan semakin hangat, saya dan kawan-kawan beredar dari tempat kami menunggu itu dan masuk ke dalam kawasan tempat duduk stadium untuk menunggu Habib. Ketika menunggu itu juga saya bertemu sekali lagi dengan abang Azman Ali yang berjaya juga menamatkan larian dengan mendapat medal dan baju finisher.


Habib sebenarnya  baru kembali berlari selepas berbulan berehat untuk proses pemulihan daripada kecederaan. Saya bimbang apabila beliau buat keputusan untuk menyertai perjalanan kami ke BIM 2017 dan memutuskan untuk melarikan FM selepas FM pertamanya di PNM 2016 kerana saya tahu bahawa dia tidak mempunyai persediaan yang secukupnya. Walaupun bagaimana pun kami semua tetap memberi semangat kepada dia agar dia dapat tamatkan lariannya di BIM 2017.

Kami semua yang telah bersama-samanya untuk BIM 2017 merasa amat cemas dan sangat bimbang sementara menunggu dia terutamanya apabila stadium itu sudah pun hampir kosong dan panggilan dan teks kepada beliau telefon bimbit juga tidak berjawab.

Akhirnya, di bawah matahari panas terik, kami melihat dia memasuki  dengan langkah-langkah terakhir dia berjalan dan berlari amat perlahan untuk menuju  dan melintasi garisan penamat dengan senyuman yang besar pada mukanya.

Dia adalah yang terakhir di antara kami yang datang untuk BIM 2017 dan melintasi garisan penamat tetapi pasti dia mendahului kami dengan kesungguhan beliau untuk menamatkan lariannya.

Dia melakukannya dan apa lagi yang boleh saya katakan selain daripada 

Tahniah Habib!
KEBERANIAN DAN SEMANGAT ANDA adalah lebih berharga dan daripada pingat dan tee finisher di BIM 2017 yang boleh berikan.

Kami amat berbangga dengan anda Habib!
Habib sebaik saja melepasi garisan penamat.

Seterusnya kami terus bersiap-siap untuk mengambil gambar bersama-sama dalam satu kumpulan dengan baju Anonymous Runners di dalam stadium. Hanya TM yang kekal memakai pakaian unik beliau dan ia membuatkan gambar-gambar kami pada BIM 2017 juga jadi lebih menarik dan unik.


Dengan kawan-kawan rombongan Anonymous Runners selepas semua tamatkan larian 





Dengan TM yang unik


Pingat yang hanya finishers memahami nilainya.

Akhirnya Stadium Likas kami tinggalkan juga dengan segala macam kenangan yang manis dan mencabar minda dan fizikal kami sebagai  pelari.Sekali lagi khidmat Uber kami gunakan untuk kembali semula ke hotel untuk berehat.
Pada sebelahnya malamnya kami semua keluar menikmati makan malam bersama-sama di salah satu restoren makanan laut di tepi laut di bandar KK. Cerita-cerita yang masih mampu membuatkan kami semua senyum dan ketawa bersama masih tentang pengalaman masing-masing di BIM 2017.


Makan malam dengan makanan laut selepas kepenatan bermarathon di BIM 2017

Kami akhiri hari 7 May dengan menggunakan khidmat Uber semula ke hotel dan TM hanya berjalan menuju ke hotel penginapannya.Seterusnya ialah tidur yang teramat lena bagi saya dan semua saya rasa selepas hari yang indah dan penuh pelbagai memori untuk dikenang sampai bila ketika BIM 2017.


Sarapan pagi sebelum kami berlepas balik ke KL


Kenangan menghabiskan larian tetap manis dan akan kekal dengan pingat dan baju  finisher  yang  cantik bagi mereka yang mendapatnya tetapi apa yang lebih bernilai daripada semua iaitu nilai persahabatan sesama kawan-kawan pelari pada sepanjang perjalanan ini sehingga kami meninggalkan KK. Setiap kenangan yang kami cipta dan cabaran yang kami hadapi sama-sama susah dan senangnya pastinya membuatkan kami lebih mengenali satu sama lain yang dapat mengeratkan lagi persahabatan antara kami.


Tahniah kepada penganjur dengan penganjuran satu acara marathon antarabangsa yang hebat yang memberi kami pengalaman yang  manis sebagai pelari walaupun ada serba-sedikit kekurangan yang pastinya boleh di perbaiki.


Saya bertolak balik ke KL pada sebelah pagi pada hari Isnin, 8 May 2017 bersama Habib walaupun penerbangan kami berlainan manakala TM meneruskan cuti panjangnya di Sabah sehingga hari Rabu. Hussien, Isey, Rizwan dan Mael pula balik dengan penerbangan pada sebelah petang.



Selamat tinggal BIM 2017 dan KK dan harap-harap dapat kembali semula ke BIM 
yang akan datang!


Ringkasan statistik bagi marathon penuh pada BIM 2017

Kategori = Finishers dalam COT / Finishers (% dalam COT Finishers)

  • Veteran Lelaki = 492/509 (97%)
  • Terbuka Lelaki  = 981/1015 (97%)
  • Terbuka Wanita = 278/309 (90%)
  • Veteran Wanita = 138/143 (97%)
  • Jumlah finishers = 1976
  • Jumlah finishers dalam COT = 1,889 (96%)


No comments: