Wednesday, 5 July 2017

KEKAL CERGAS DAN SIHAT KETIKA BULAN RAMADHAN DAN SYAWAL


Ketika saya mula berlari pada sekitar bulan April-May 2015, saya tidak berlari langsung pada  bulan Ramadhan yang ketika itu jatuh sekitar dalam bulan Jun-Julai.Apa yang berjaya lakukan pada tahun itu ialah saya mula berlari semula pada hari kelima Hari Raya selepas balik semula ke rumah dari kampung untuk cuti berhari raya.

Dalam hati dan diri saya, itu juga satu kejayaan peribadi saya yang agak besar dan penting dalam usaha saya untuk berubah menjadi lebih sihat dan cergas. Saya berjaya atasi halangan mental dan potensi-potensi tanggapan orang lain dalam suasana menyambut Hari Raya dan baru saja sampai dari perjalanan yang jauh dengan kesesakan trafik pada hari dan malam sebelumnya dari Kelantan ke Nilai.


My outfits for Aidilfitri 2017
Pada 2016 pula saya ada perancangan untuk berlari sekurang-kurangnya seminggu sekali pada bulan Ramadhan tetapi saya hanya berjaya melakukannya pada minggu kedua dan  minggu ketiga sahaja. Agak pening juga kepala ketika mula merancangnya dan agak tak selesa juga bila melakukannya. Terdapat rasa yang bercampur dalam fikiran antara hanya untuk tumpukan lebih kepada amalan-amalan yang digalakkan ketika Ramadhan sahaja atau buat kedua-duanya.

Semua larian yang lakukan pada tahun 2016 itu ialah pada masa selepas solat Sunat Terawih. Saya berjaya melakukannnya sebanyak 3 kali, sekali bersama kawan-kawan dan dua kali berseorangan. Pada masa yang sama, amalan-amalan sunat ketika Ramadhan yang biasa saya buat saya teruskan macam biasa. 

Apa yang saya pelajari daripada pengalaman pertama melakukan semua itu dalam bulan Ramadhan ialah, aktiviti larian tidak mengganggu sangat pun untuk kita melakukan amalan-amalan sunat yang biasa. Ia boleh dilakukan dengan cara menghadkan intensity aktiviti-aktiviti fizikal yang kita lakukan dan mengambil kisah tentang pemakanan yangs sesuai untuk cukup bekalan tenaga selepas waktu berbuka dan ketika bersahur untuk kekal cergas pada bulan Ramadhan. 

Sebagai contoh, tempoh masa berlari hanya saya hadkan sehingga pukul 11 malam sahaja untuk membolehkan saya tidur sebelum jam 12 malam. Saya juga meminum lebih banyak air berbanding tahun-tahun sebelum ini ketika berbuka dan bersahur untuk pastikan badan saya cukup air setiap kali saya merancang untuk berlari pada sebelah malamnya.



Larian pertama dalam hidup dalam bulan Ramadhan dengan
kawan-kawan di Putrajaya











Walaubagaimana pun, yang agak memeranjatkan saya sendiri juga saya berjaya berlari pada pagi hari pertama dan kedua Hari Raya Aidilfitri pada tahun yang sama. Saya berlari di sekitar rumah mertua saya pada pagi-pagi 1 Syawal dan bersama isteri saya di Lembah Sireh Kota Bharu pada pagi 2 Syawal.

Perkara ini juga betul-betul telah memeranjatkan kebanyakan ahli keluarga, saudara dan kawan-kawan saya bila mereka mengetahuinya pada pagi itu terutamanya anak-anak dan mak mertua saya. Mereka rasa agak pelik saya keluar pagi-pagi untuk berlari ketika orang sedang bersedia untuk solat Sunat Aidilfitri.

Apa yang saya fikirkan ketika itu?
Sama juga seperti tahun sebelumnya. Namun pada mulanya saya ada juga terfikir tentang tanggapan orang terutamanya keluarga sebelah mertua saya tetapi saya buat keputusan untuk teruskan juga niat saya.

Saya cuba buktikan pada diri saya bahawa saya boleh atasi apa juga alasan atau halangan yang biasa atau yang mungkin saya cipta daripada saya meneruskan cara hidup sihat dan cergas yang telah saya mulakan. 

Jika saya berjaya lakukannya ketika masa-masa biasa dan orang lain juga melakukannya, ia mungkin tiada masalah atau bukan apa-apa yang istimewa tetapi jika saya boleh melakukan ketika kebanyakan orang lain tidak akan melakukannya, itu ialah satu kejayaan sebenar untuk diri saya.

Dan saya amat bersyukur kerana yang telah diberi kekuatan oleh Allah untuk melakukannya dan tiada apa yang dapat menggambarkan betapa istimewanya pencapaian itu dalam hati saya.

Larian pertama 1 Syawal sebelum solat Sunat Aidilfitri di Kelantan.


Hari ke-2 Syawal
Saya rasa terkejut juga bila saya kongsi tentang larian ketika pagi-pagi Syawal saya di media sosial FB saya, kawan-kawan larian dan juga juga yang bukan berlari memberikan maklum balas yang kebanyakan positif bercampur terkejut juga dengan apa yang telah saya lakukan.

PERANCANGAN PADA 2017
Pada tahun ini pula, saya rasa saya telah merancang dengan lebih baik tentang pelan larian saya pada bulan Ramadhan dan juga ketika berhari raya. Perancangan saya kali ini ialah untuk meneruskan sekurang-kurangya satu larian seminggu dengan jarak 10-15km sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mengekalkan lagi kecergasan satu dan untuk mencapai sasaran peratusan lemak dalam badan saya ke arah lean body, saya telah rancang untuk tambah 1-2 kali sesi di gym setiap minggu selama lebih kurang 1 jam setiap sesi.



Dengan persiapan mental dan fizikal yang lebih baik berbanding 2016 untuk meneruskan cara hidup sihat dan cergas saya pada Ramadhan 2017, saya rasa lebih tenang ketika Ramadhan mula menjelma akhirnya.

Secara keseluruhannya saya berjaya laksanakan perancangan sesi-sesi larian dan gym saya dengan perubahan jarak setiap larian dan perancangan pada minggu yang terakhir atau pada sepuluh  malam terakhir bulan Ramadhan.

Selepas larian pertama sejauh lebih kurang 6km, pada malamnya saya rasa amat penat daripada biasa dan kesannya saya rasa sukar sedikit untuk bangun awal untuk teruskan sedikit amalan-amalan sunat dan seterusnya untuk bersahur. Jadi saya buat keputusan untuk kurangkan jarak larian saya yang seterusnya daripada perancangan saya 10-15km kepada hingga 5km sahaja setiap larian. 

Pada sepanjang sepuluh malam terakhir Ramadhan pula saya buat keputusan untuk tidak berlari dan hanya teruskan dengan sesi-sesi di gym agar saya rasa lebih bertenaga untuk mencuba memanfaatkan sepenuhnya amalan-amalan sunat pada malam dan awal pagi yang nampu saya lakukan dalam tempoh tersebut.



Hasilnya ialah saya rasa lebih tenang dan renewed setelah sebulan menjalani ibadah puasa. Spiritually saya rasa lebih selesa,tenang dan bersyukur dengan apa yang saya telah dan sedang nikmati dalam hidup saya selama ini. Saat-saat melakukan persediaan bersama isteri dan anak-anak untuk menyambut Aidilfitri betul-betul saya rasakan untuk meraikan KEMENANGAN saya secara peribadi sebagai hamba Allah setelah sebulan melalui Ramadhan.

Jadi pada tahun 2017 ini saya memang merancang untuk berlari pada pagi 1 Syawal untuk meneruskan dan membuktikan komitmen dan disiplin saya kepada diri sendiri untuk kekal cergas dan sihat.
Ia juga sebagai salah satu cara saya meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. 
It was another personal victory run for being able to execute my health and fitness plans for Ramadhan 2017. 

Jika pada tahun 2016 ada ahli-ahli keluarga yang terdekat bertanya kenapa pelik sangat saya nak berlari pada pagi-pagi Hari Raya, pada tahun ini ada pula yang bertanya awal-awal lagi yang saya tak berlari ke lagi pagi-pagi Hari Raya nanti?

PELAKSANAAN PADA 2017 Bezanya juga pada tahun ini daripada tahun lepas ialah saya berlari pada pagi 1 Syawal di kampung rumah mak saya sendiri dan merentasi jalan-jalan di kampung-kampung sekitarnya.
Ini juga merupakan pengalaman pertama saya berlari di kampung saya sendiri di Kampung Astana Raja, Kota , Rembau, Negeri Sembilan.

Saya mulakan larian saya seawal jam 6.30 pagi dan tamat lebih kurang sejam kemudian dengan jarak lebih kurang 5km sahaja.
Pada tahun ini saya juga dimaklumkan yang solat Sunat Aidilfitri di masjid hanya akan bermula pada jam 9 pagi.Ini memberikan saya lebih banyak masa untuk menikmati larian saya dan seterusnya bersiap-siap untuk ke masjid selepasnya.

Pagi 1 Syawal 2017

Saya juga bertembung dengan saudara-mara dan kawan-kawan yang sedang bersiap-siap untuk ke masjid di dalam laluan larian saya.


Lalu di hadapan sekolah rendah saya dulu

Terserempak dengan kawan-kawan lama di kampung


Singgah sebentar di pusara arwah ayah saya yang 
meninggalkan kami pada 30 Mei 2017ketika 
dalam larian pagi  1 Syawal saya kali ini
Larian pada cuti Syawal saya teruskan juga pada hari Raya ke-2 pada sebelah petang dan seterusnya pada Hari Raya ke-4 ketika saya sudah pun berada di kampung isteri saya di Kelantan. Saya akhiri larian cuti Syawal saya sebaik sahaja saya sudah kembali semula di rumah saya di Nilai pada hari raya ke-6.



Mesej -mesej yang saya dapat daripada pengalaman saya berlari pada pagi-pagi Hari Raya Aidilfitri selama 2 tahun ialah seperti berikut:
  1. Perubahan ada kalanya menjadikan kita sedikit pelik di kalangan yg biasa.
  2. Perubahan ambil masa utk jadi biasa dan diterima.
  3. Perubahan tak bergantung kpd pandangan/penerimaan orang tetapi tindakan yg sanggup kita lakukan.
  4. Perubahan ke arah kebaikan tak perlukan endorsement orang lain kecuali diri kita untuk bermula.
  5. Tiada masa yang paling sesuai atau sempurna untuk berubah. Just do it!

PERBINCANGAN DAN PENDAPAT
Saya ada juga mendengar dan membaca tentang perbincangan dan kadang-kala perdebatan tentang patut atau tidaknya aktiviti-aktiviti seperti berlari ini diteruskan oleh pelari-pelari seperti saya sepanjang bulan Ramadhan. Antara yang kerap ditimbulkan ialah bulan Ramadhan sepatutnya hanya ditumpukan untuk beribadat kerana banyak ganjaran-ganjaran pahala istimewa yang Allah sediakan.
Pada saya cara hidup cergas dan sihat perlu diteruskan pada sepanjang masa termasuk pada bulan Ramadhan.Yang berbeza cuma cara kita menyesuaikannya.

Saya tidak berminat untuk menyertai perdebatan atau pertikaian seperti itu kerana saya faham dan hormati setiap orang berhak dengan pendapat masing-masing.

Pendirian dan pendekatan yang saya ambil ialah aktiviti-aktiviti untuk kekal cergas pada bulan Ramadhan seperti berlari hanya patut kita jadikan sebagai amalan hidup yang biasa dan bukannya sebagai keutamaan. 

Daripada segi makanan, jika pemakanan yang sihat memang telah menjadi amalan, Ramadhan atau tidak kita pasti akan mengamalkan perkara yang sama walaupun godaan nafsu ketika Ramadhan adalah lebih mencabar. Ia sama juga ketika kita menyambut Syawal.Kita pasti tahu mengawal apa yang perlu agar kita tidak makan berlebih-lebihan yang kita tahu mudaratnya nanti kepada kesihatan dan kesannya kepada tahap kecergasan kita.

Ketika Ramadhan, sudah pastilah tumpuan kita sebagai seorang Islam untuk menjadi hamba Allah yang baik semestinyalah untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang untuk menuai lebih banyak pahala demi redha Allah pada bulan Ramadhan. 

Memang kita tidak akan berdosa selagi kita melakukan apa-apa yang wajib tetapi kita akan kehilangan peluang-peluang untuk mendapat banyak pahala bonus dan ganjaran istimewa yang Allah sediakan untuk hamba-hanmba-Nya pada sepanjang bulan yang diberkati dan dirahmati Allah iaitu bulan Ramadhan yang mulia.

Amalan-amalan yang kita buat pada bulan Ramadhan juga boleh kita gunakan untuk self evaluate diri kita tentang tahap kepercayaan dan iman kita tentang janji-janji Allah untuk kehidupan kita yang akan datang di alam barzakh dan yang kekal diakhirat kelak. Berlari atau apa-apa juga aktiviti lain seharusnya tidak dilebihkan berbanding untuk memaksimumkan amalan-amalan kita kerana Allah pada bulan Ramadhan. 

Kita masih mampu beribadat dengan maksimum tanpa meninggalkan langsung apa yang boleh membuatkan kita cergas dan sihat. Semuanya bergantung kepada perancangan, persediaan dan kemahuan kita.

Lagipun adalah lebih afdal sekiranya segala nikmat sihat dan cergas yang telah kita nikmati dengan izin Allah selama 11 bulan setahun itu kita terjemahkan pula kekuatan dan ketahanannya untuk memberi keutamaan selama sebulan untuk mencari redha dan memohon kemampunan daripada Allah.

Sebagai contoh, jika dengan kesihatan dan kecergasan kita, kita mampu bangun sangat awal pagi untuk berlari marathon yang bermula seawal jam 2 hingga 4 pagi, secara logiknya kita tidak akan ada masalah untuk tunaikan solat-solat sunat yang digalakkan sepanjang Ramadhan pada waktu malam dan juga awal pagi ketika sepertiga malam.

Saya memegang prinsip yang nikmat sihat dan cergas yang Allah izinkan untuk nikmati selama ini sepatutnya menjadikan lebih taat dan dekat dengan Allah dengan cara menunaikan amalan-amalan itu sebagai bukti dan bukannya sebaliknya.

Dengan cara itu, kehidupan kita sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah akan lebih seimbang daripada segi jasmani(fizikal) dan rohani(spiritual).

Jika kita hendak, seribu usaha kita boleh lakukan dan jika kita tidak mahu, kita juga boleh cari atau cipta beribu alasan.

Hari Raya Aidilfitri yang kita sambut meraikan kemenangan kita melalui Ramadhan dengan sebaiknya sepatutnya menjadi pencetus semula disiplin kita untuk terus kekalkan cara hidup sihat dan bukannya kembali semula kepada yang sebaliknya. 

Amalan-amalan yang baik dan disiplin yang telah mampu kita lakukan sepanjang Ramadhan sepatutnya akan menjadikan kita lebih kuat dari segi mental dan fizikal untuk mengawal nafsu kita bila Aidilfitri bermula sehingga Ramadhan yang akan datang. Ia sepatutnya bukan jadi alasan kita untuk kembali sikap lama sebelum Ramadhan kerana jika itu berlaku, hakikatnya kita telah pun GAGAL melepasi madrasah Ramadhan kali ini.


KESIMPULAN DAN THE WAY FORWARD


  • Ramadhan sepatutnya menjadikan kita lebih produktif dan bukannya negatif.
  • Apa pun yang kita buat termasuk beriadah, jangan sampai kita lupa tanggunjawab-tanggungjawab kita untuk taat dan tunaikan perintah-perintah Allah.
  • Ibadat dan untuk sihat itu mudah dan jangan kita sendiri yang menjadikannya sebagai penyebab untuk bertelagah dan nak buat pun jadi susah.
  • Bulan Ramadhan dan Syawal ialah mada kita diberi peluang oleh Allah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan sihat daripada sebelumnya dan teruskan hingga Ramadhan yang berikutnya.



"To stay healthy and fit, 
no excuses and just do it!"

No comments: