Wednesday, 24 June 2009

1. MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI...

Ada beza antara berubah dan mahu berubah.
Sedar atau tidak dan suka atau tidak...setiap hari kita berubah. Paling kurang pun usia kita dah bertambah sehari berbanding semalam. Hari ini takkan sama seperti semalam dan malahan saat ini banyak yang berbeza berbanding saat yang baru saja kita tinggalkan beberapa saat yang lepas.

Mahu berubah????...biasanya kita mahu berubah kepada yang lebih baik sama ada daripada pandangan kita, orang atau pun agama. Kita harapkan perubahan yang baik itu akan berlaku pada diri kita. Kalau tak berubah juga...kadang-kadang kita give-up, salahkan apa saja, marah, menyesal dan macam-macam lagi.

Bagi aku sendiri...
Cara aku dibesarkan, persekitaran yang ada dan apa-apa yang aku ada sejak kecil banyak mempengaruhi perubahan yang aku mahukan dalam hidup aku. Kehidupan aku semasa kanak-kanak memang banyak mempengaruhi diri aku tentang apa perbezaan yang aku mahukan dalam hidup aku akan datang.

Aku mampu mengubahnya dan untuk itu aku sendiri yang perlu melakukan perubahan itu untuk mencapai apa yang aku mahukan.
Aku mahukan kehidupan yang lebih selesa dan paling kurang pun anak-anak aku juga akan ada kehidupan yang jauh lebih selesa berbanding apa yang aku nikmati pada masa itu.

Aku tetapkan azam aku sejak aku kecil sambil memerhati kepayahan ayah dan mak membesarkan aku. Pesan ayah pada aku bahawa kalau aku mahu senang, aku mesti belajar rajin-rajin jadi satu pegangan dalam hidup aku pada masa itu.

Aku belajar sebaik mungkin di sekolah di sebalik bau busuk dan hanyir aku bergelumang dengan lumpur dan air lopak sawah selepas habis masa sekolah. Aku teringat lagi ketika aku terpaksa berjalan merentasi sungai dan sawah dengan kaki ayam aku setiap hari lepas sekolah hanya untuk pergi belajar Bahasa Inggeris di rumah makcik aku di kampung sebelah. Teringat juga lagi bila sepupu aku minta aku duduk jauh sikit masa makcik aku ajar kami sebab peluh badan aku yang busuk katanya.

Kenangan masa itu cuma tinggal sebagai memori yang takkan hilang dalam hidup aku.
Jika aku sendiri tak mahu lakukan semua itu dulu dan tempuhi semua tu dengan sabar...mungkin aku takkan ke mana pun sekarang.

Pelajaran tentang hidup yang aku pegang sampai sekarang...jika kita mahukan perubahan, kita yang patut mulakan perubahan itu. Asas bahasa Inggeris yang makcik aku ajar dululah yang buatkan aku tak rasa rendah diri bila berurusan dengan dengan semua orang dalam dan luar negara sekarang ini. Aku sedar kemampuan Bahasa Inggeris aku masih belum sempurna namun ia cukup meyakinkan untuk aku melaksanakan tugas-tugas dalam kerjaya aku selama ini.

Mengharapkan yang lain agar kita berubah akan lebih mengecewakan jika akhirnya tiada apa yang berubah. Mengharap sesuatu dengan kita sendiri yang berubah adalah lebih baik kerana kita pasti yang kita telah melakukan sesuatu untuk diharapkan dan biasanya kita akan buat sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri. Aku cuma memikirkan betapa banyak perkara yang dalam kawalan kita sendiri andai kita sendiri yang melakukannya. Setidak-tidaknya kita tahu apa lagi yang masih tidak dan perlu kita lakukan untuk mencapai apa yang kita mahukan. Selebihnya ialah urusan Allah untuk tentukan keputusan hasil usaha kita.



Aku bukan jenis yang suka menyalahkan orang lain tentang apa-apa kesukaran yang perlu aku lalui dalam hidup. Perkara yang pertama aku tanya apabila sesuatu yang kurang menyenangkan berlaku pada aku...adakah ia salah aku? adakah aku telah melakukan apa yang perlu untuk menghalangnya?....dan aku tak kecil hati jika aku juga yang dipersalahkan...biarlah jika ianya benar-benar salah aku atau pun tidak. Apa yang penting bagi aku ialah..apa nak buat lepas perkara tu berlaku?
Aku bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap keputusan yang aku buat untuk hidup aku dan takkan luak apa pun pegangan aku jika aku dipersalahkan andai ia tak cukup bagus atau sempurna pada pandangan orang lain.

Bagi aku...apa yang aku buat akan tentukan apa hasil yang aku harapkan. Jika sesuatu perlu berubah dan aku dapat jangkakan itulah yang terbaik untuk hidup aku...akulah yang akan berubah dulu. Pengalaman mengajar bahawa aku tidak boleh terlalu mengharapkan orang lain untuk mengubah masa depan aku agar jadi lebih baik. Aku takkan ke mana-mana kalau asyik harapkan ayah sediakan segala-galanya untuk aku belajar dulu kalau aku sendiri malas nak belajar.

Dalam kerja,
aku tak mengharapkan tempat kerja mengubah aku agar aku dapat apa yang aku mahukan. Aku akan cari peluang dan buat perubahan yang perlu dari segi cara aku berkerja untuk mencapai matlamat aku. Yang penting aku tak dengki pada orang dan aniaya orang lain dalam mengejar impian dalam kerjaya aku. Jika aku "naik"..biarlah kerana diri aku dan kemampuan aku dalam bidang yang aku bagus. Aku mahu dikenali dalam kerja kerana kemampuan aku atau kekompetenan aku dalam bidang aku...bukannya lebih kerana sebab-sebab yang lain daripada itu.

Dalam keluarga
Sekurang-kurangnya aku sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada isteri-isteri, anak-anak dan adik-adik aku.


Buat masa ini..hanya kesyukuran pada Allah yang aku selalu ingatkan dalam hati aku atas segala perubahan-perubahan baik yang Allah jadikan dengan usaha-usaha aku selama ini.

Untuk menggapai impian...aku mesti memulakan dengan diri sendiri...
aku perlukan sokongan dan semangat daripada mereka yang penting dalam hidup aku
untuk aku melakukan segala yang aku mampu...
dan akhirnya doa dan redha dengan segala yang Allah tentukan untuk terjadi untuk aku.


Mungkin apa yang aku capai tak sehebat mana namun jauh dalam hati ini aku tahu kehidupan yang aku ada bersama keluarga aku sekarang jauh lebih baik dengan apa yang aku ada satu masa dulu. Ia lagi bermakna kerana semuanya dapat dirasai dan dikongsi bersama oleh ayah dan mak aku sekarang ni. Mungkin lebih 30 tahun dulu semuanya adalah impian atau angan-angan aku namun ian realiti yang perlu aku syukuri sekarang ini. Semuanya bermula dengan perubahan yang aku mahukan...dan aku sendiri yang memulakannya.

"We will move faster with the steps that we take and not steps taken by others"

No comments: