Monday 5 June 2017

HARI AYAH DIJEMPUT PERGI OLEH ALLAH

30 Mei 2017...
"Aku mohon kepada-Mu Ya Allah. Semoga Engkau tempatkan roh ayah di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Aamiin"
Al-Fatihah untuk arwah ayah, 
Abdul Wahab bin Osman(10.4.1948-30.5.2017)




Selepas solat sunat aku duduk dan tunggu di atas sejadah sementara tunggu isteriku sediakan hidangan di bawah untuk kami sekeluarga sama-sama bersahur.
Malam semalam aku dan isteri  dah pun setuju hari kami akan balik untuk berbuka puasa di kampungku dengan mak,ayah dan adik-adik.
Aku  turun ke bawah lebih kurang jam 5 pagi. Hidangan sudah siap dan anak-anak pun semua sudah tunggu di meja makan dengan isteri.Macam biasa, aku tanya Zakwan dan ingatkan dia dah baca niat untuk puasa ke belum. Dia akan baca sama-sama sekali selalunya.
Kemudian kami pun mula menjamah hidangan sahur pagi itu.
Ketika suapan nasi kedua , tiba-tiba kami terdengar bunyi deringan telefon aku dari bilik tidur di atas.

"Phone abang itu" kata isteriku.Terdetik dalam hari siapalah yang nak call pagi-pagi buta macam tu.Biasa mesti ada hal penting. Dalam hati aku cuma kata ia mungkin dari kampung atau rumahku di Kota Damansara saja. Pastinya ada hal yang mustahak kataku lagi dalam hati sambil bergegas bangun naik ke atas untuk jawab panggilan itu.

Aku masuk bilik dan serta-merta nampak nombor telefon Kak Lang, adikku  di skrin telefon. Dengan segera aku jawab dan pada masa yang sama fikiranku menjangkakan pastinya ada kena mengena dengan ayah atau mak di kampung.

Sebelum ini memang ada beberapa kali mak atau ayah yang tiba-tiba tidak sihat macam demam atau sesak nafas terutamanya dalam musim hujan yang cuaca biasanya lebih sejuk.

Bila talian telefon bersambung terus aku terdengar suara tangisan di sebelah sana.

"Angah, ayah dah tak ada angah! Ayah dah  tak ada!" Suara kak lang menangis sambil bercakap denganku dan banyak lagi suara tangisan aku dengar amat jelas aku dengar di telingaku.

"Innaliillah wainnalillahhirrojiun...bila?!!!"
"Tak tau angah.Kak lang nak kejutkan ayah bangun sahur.Tiba-tiba tengok ayah dah tak ada ..." Suara Kak Lang menjawab sambil menangis teresak-esak kudengar.

"Takpa Kak Lang.Angah balik kejap lagi" Kataku sambil hentikan talian telefon. 

Sebaik saja talian itu putus, aku tiba-tiba tergamam dan seolah masa ketika itu terhenti. Dengan telefon masih dalam tangan, aku berjalan keluar bilik namun langkahku terhenti di anak tangga pertama yang aku pijak. Dalam beberapa saat baru otakku  dapat memproses apa yang Kak Lang  beritahu aku  sebentar tadi. Baru otakku betul-betul jelas yang ayah  sudah tiada. Ayah  sudah meninggal dunia dan tinggalkan aku , mak dan adik-beradikku selama-lamanya!

Tiba-tiba aku terasa seolah-olah masa terhenti sejenak.Aku terus terduduk kerana badanku  tiba-tiba rasa longlai dan tak bermaya . Aku tiba-tiba terduduk di tepi tangga. Bahu kiriku  tersandar di dinding dan mulutku cuma mampu melafazkan dalam tangisan.

"Sayaaangg! Ayah dah tak ada! Ayah abang dah tak ada.Abang dah tak ada ayah lagi sayaang!!!.

"Haaah! Bilaaaa?" Aku dengar suara isteriku dari bawah  yang masih menjamah hidangan sahur dengan anak-anak.Kemudian aku nampak dia naik dan meluru kepadaku dan dalam beberapa saaat saja saya kepalaku sudah berada dalam dakapan tangannya.

"Baru saja tadi.Kak Lang called cakap ayah dah tak ada!" Pada saat ini aku cuma dapat rasa yang hangatnya air mataku yang tiba-tiba mula membasahi pipiku. Ketika isteriku cuba menenangkan aku dengan mengusap-usap kepala dan belakang badanku, aku cuma mampu terus menangis meratapi pemergian ayah. Cuma wajah ayah yang terbayang pada fikiranku  pada ketika itu.

Selang seminit dua lagi selepas itu, aku minta isteriku beritahu anak-anak untuk bersiap-siap untuk balik ke kampung. Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada dan dengan aku yang masih teresak-esak menangis, aku bangun dan masuk ke bilik dan isteriku turun ke bawah bersama anak-anak yang masih di meja makan.

Aku telefon Kak Lang untuk beritahu dia yang aku akan balik sebaik sahaja selesai solat Subuh yang tak berapa lama lagi selepas itu. Aku tanya Kak Lang dengan nada yang lebih tenang tentang bila dan bagaimana ayah meninggal.
Kak Lang beritahu ketika dia juga masih teresak-esak menangis yang dia yang kejutkan ayah untuk bangun makan sahur selepas beberapa kali dia panggil ayah tapi ayah tak menyahut macam biasa. Dia kata mungkin ayah pergi tak lama sangat sebelum tu sebab ketika dia pegang ayah, tangannya masih boleh Kak Lang gerakkan macam biasa dan masih belum keras atau kejang macam mayat lagi.Katanya lagi, muka dan badan ayah pun masih belum sejuk sangat lagi.
Pada masa ini, hatiku  sudah mula boleh bertenang dan sedar perlahan-lahan yang hakikatnya ayah sudah pun tiada.Namun air mata masih belum mampu berhenti mengalir sebagai luahan perasaan sedih dan hiba seluruh jiwaku pada ketika itu.

Selepas  itu, dengan langkah yang longlai aku turun ke bawah. Muka dan mata semua anak-anak saya semuanya tertumpu padaku sebaik sahaja saya muncu dan melangkah satu persatu turun ke bawah. Aku berjalan ke meja makan dan tanpa aku sedar, aku sudah memeluk anakku Sofiyya dan Zaim serentak yang sedang duduk menangis seperti aku.

"Abang, kakak...atuk dah tak ada.Ayah dah tak ada ayah..." Lafazku terputus-putus kepada mereka ketika masih dalam pelukanku. Kemudian aku lepaskan mereka dan bergerak ke sebelah meja yang Fareesya dan Zakwan duduk.Kulihat Fareesya sudah pun menangis berlinangan air mata. Zakwan pula kelihatan seolah-olah hilang punca  atau cuma kebingungan dan hanya terdiam melihat apa yang berlaku dan didengar di hadapan matanya. Aku peluk Fareesya dan kemudian aku peluk juga Zakwan dan beritahu mereka yang atuk mereka lagi yang atuk mereka sudah tiada.

Aku masih tak mampu mengawal air mata meskipun anak-anak dan isteri cuba tenangkan aku. Kemudian aku minta mereka habiskan hidangan sahur dan bersiap untuk solat dan kemaskan apa yang patut untuk balik ke kampung selepas sahaja solat Subuh. Aku pesan juga pada mereka yang aku takkan ke surau pagi itu dan semua akan solat berjemaah di rumah saja supaya boleh bertolak lebih awal sikit.

Isteriku minta aku habiskan makanan sahur aku yang masih berbaki namun aku kata pada dia, aku tak dapat nak habiskan dan aku naik semula ke atas untuk mandi dan bersiap-siap menunggu waktu Subuh masuk.

Perjalanan balik ke kampung amat sunyi dan menghibakan bagi aku,isteri dan anak-anak. Jika selama ini,aku sekeluarga balik untuk bertemu dan melihat keadaan ayah serta bermanja dengan dia sebagai anak dan cucu-cucu dia, namun kali ini memang amat sukar digambarkan pula bagaimana pula suasananya. 
Yang pastinya tidak akan ada lagi kunjungan ayah ke rumahku di Nilai dengan kereta aku atau dihantar oleh adik-adiku.

Sesekali aku bersuara dan bercerita kepada isteriku dan anak-anak tentang beberapa peristiwa dan kenangan aku dengan ayah.Semuanya hanya ikhtiar aku untuk kekal tenang sambil memandu. Aku kongsi lagi beberapa cerita tentang ayah dan kata-kata ayah yang selalu menjadi sumber kekuatan dan pegangan aku sebagai anak lelaki yang nombor dua atau angah dalam keluarga. Dengan cara aku memandu, biasanya kami akan ambil masa lebih kurang satu jam setengah untuk sampai ke rumah ayah, namun dengan keadaan seperti itu, aku rasa masa bukanlah keutamaanku lagi. Teringatkan juga pesan Kak Lang sebelum itu agar aku tenang dan berhati-hati ketika memandu kerana apa yang penting ialah untuk aku sekeluarga selamat sampai.


  ***************************************

Aku sampai di hadapan rumah ayah lebih kurang jam 7.40 pagi.Ketika kereta aku mendekati rumah ayah, sudah ada orang yang sedang memasang khemah di hadapan rumah,Ada beberapa yang sedang duduk di atas kerusi di sekitar hadapan rumah ayah. Rumah ayah terletak di Rumah Rakyat Astana Raja, Kota dalam Daerah Rembau dan kami sekeluarga pindah ke sini dari rumah arwah uwan sebelah mak di Kampung Agam, sejauh lebih kurang 2km saja pada tahun 1988. Itulah rumah ayah dan tempat kami sekeluarga tinggal hingga kami adik-beradik mula tinggal di rumah masing-masing. Dalam hari saya berkata juga yang sampai juga hajat ayah yang pernah dia cakap pada saya pada satu masa dulu. Kata ayah, jika boleh dia nak nak jadi macam arwah mak dia yang meninggal dunia di rumah sendiri.

Selepas aku keluar dari kereta, saku nampak Along terus bersalaman dengan dia yang sedang sama-sama memasang khemah dan dengan beberapa orang lain yang berada di luar rumah.

Kemudian  aku melangkahkan  kaki ke dalam rumah.Kedengaran ketika saya mula hampir ke pintu,suara-suara bacaan Yassin dari dalam rumah. Aku teruskan langkah hingga ke muka pintu dan serta-merta pandangan kedua-dua mataku disambut dengan sekujur tubuh yang terbaring dan tertutup dengan kain di sebelah kanan ruang tamu rumah ayah. Aku memberi salam dengan perlahan dan melangkah masuk ke  dalam rumah.Entah bagaimana langkah ku tidak terhenti di sebelah jasad yang sedang terbaring itu. Aku terus melangkah ke ruang tengah rumah dan mula nampak adik-adik perempuanku  dan yang paling aku mahu lihat ketika itu, mak.

Aku  terus meluru untuk peluk mak dan tanpa pedulikan apa-apa lagi aku terus peluk mak sekuat-kuatnya. Saya dapat lihat mata mak pun sudah merah berendamkan airmata.Saya cuma peluk mak dan pada masa yang sama mak mendakap dan mencium kepalaku. Selepas mak lepaskan  dakapannya, aku terus peluk seorang demi seorang adik-adikku, Kak Lang, Kak Teh, Kak Cik dan akhir sekali Hidayah yang bongsu. Aku tanyakan Kak Lang yang adik lelaki bongsuku Zaffroell dah tahu belum. Kak Lang beritahu yang sudah diberitahu dan sedang dalam perjalanan dari Kuantan.

Kemudian, tanpa aku sedar kakiku melangkah ke bilik ayah.Sesuatu yang biasanya aku buat setiap kali balik ke rumah jika ayah tiada di depan. Kebiasaanya dia akan berehat atau tidur dalam bilik dia dan selalunya aku dan anak-anak akan terus masuk jumpa dia beritahu yang kami semua sudah sampai dan bersalaman dengan dia. Lepas itu juga biasanya dia akan keluar dan duduk di depan untuk bersama-sama kami.

Sebaik sahaja fikiran aku sedar semula yang ayah bukan lagi ada dalam bilik dia, baru aku teringat semula jasad ayah yang sudah pun terbaring di ruang tamu depan tadi.
Dengan lemah dan longlai aku melangkah ke depan. Aku cuba tenangkan hati aku agar tidak banyak lagi airmata aku yang akan mengalir dan akhirnya tanpa aku sedari, aku pun sudah berlutut di hadapan jasad ayah. Betul-betul mengadap kepala ayah 

Kedua-dua mataku mula melihat ayah dari hujung kepala hingga ke hujung kakinya.Ayah sudah tiada dan apa yang apa yang ada di hadapan aku ketika itu cuma jasad ayah yang tidak berapa lama lagi akan hilang juga daripada pandangan mataku selama-lamanya.
Pada saat-saat itu, aku tewas lagi dengan emosi dan rasa hiba yang teramat sangat.Aku cuba kawal diri agar tidak teresak-esak lagi atau meratapi dengan tangisan pemergian ayah tetapi airmata yang mula membanjiri kelopak mataku tak mampu aku tahan.

Dengan air mata yang bercucuran, perlahan-lahan kain yang menutupi muka ayah aku selak ke atas.Sedikit-demi sedikit muka ayah mula menjamah pandangan mataku dari dagu hingga ke seluruh dahi ayah.Subhanallah! Dalam tangisan itu, kulihat wajah ayah dengan matanya yang tertutup rapat nampak damai dan tenang.Saling tidak ubah ketika wajah ayah yang selalu aku tatap ketika dia sedang lena tidur di katilnya atau ketika dia sedang terlelap di sofa di rumahnya di kampung atau di rumah aku di Nilai.

Perlahan-lahan aku rapatkan muka aku ke sisi muka ayah.Aku sentuh pipi aku dengan pipi ayah sebelum aku cium dahi ayah. Air mataku makin mengalir deras dan pada ketika itu aku tidak peduli lagi siapapun yang di sekeliling jenazah ayah yang sedang melihat aku menangis. Hati aku cuma berkata kepada ayah yang pemergian dan kehilangan ayah untuk selama-lamanya terlalu berat untuk aku terima. Tanpa aku sedar, air mataku tumpah pada pipi ayah dan selepas dahi, aku cium pula pipi kanan dan kiri ayah.Sejuk saja kulit dahi dan pipi ayah dalam ketenangan wajahnya yang aku lihat ketika itu.Wajah ayah yang tidak akan ada lagi untuk aku lihat senyuman, ketawa dan riak wajah sedih atau marahnya.

Selepas aku mencium ayah, aku suruh anak-anak aku pula melihat dan mencium wajah atuk yang telah pun tinggalkan mereka.Sekarang anak-anak aku sudah tidak ada lagi atuk untuk mereka bermanja di kampung atau atuk yang akan datang lagi untuk mereka sama-sama jaga bila atuk datang ke rumah kami.

Kemudian dengan lembut dan perlahan-lahan kututup semula muka ayah dengan kain sambil mengucapkan...

 "Ayah sayangkan ayah dan angah akan sentiasa rindukan ayah.Terim kasih ayah" dalam hati aku.

Selepas itu, aku terus mencapai Surah Yassin yang ada disediakan dan terus membacanya.Bacaan terakhir untuk ayah ketika jasad ayah masih berada di bawah bumbung rumah ayah.


***************************************

Aku keluar ke depan rumah dan terus bertanyakan pada Along tentang apa yang telah diaturkan seterusnya.Along beritahu, van jenazah akan bersedia dalam jam 11 pagi untuk bawa jenazah ayah disembahyangkan dan seteruskan ke kawasan tanah perkuburan untuk di kebumikan. Urusan memandikan jenazah pula akan dibuat pada lebih kurang jam 9.30 pagi di depan rumah ayah sendiri.Ketika tu aku dapat lihat, kanvas penghadang tempat jenazah akan dimandikan telah pun siap di pasang. Along juga cakap yang Zaffroell pesan dalam telefon kalau boleh tunggu dia sampai sebelum ayah di kebumikan. Saya kata, harap-harap dia boleh sampai sebelum pukul 11 pagi sebab kalau boleh tak elok di lewat-lewatkan lagi urusan pengkebumian jenazah ayah.

Aku dapat perhatikan muka-muka mereka yang biasa kulihat ketika itu. Kebanyakan saudara-mara sebelah ayah yang tinggal di kampung-kampung bersebelahan dan jiran-jiran dari kawasan perumahan itu. Selepas bercakap dengan Along, saya pergi berjumpa dengan setiap orang yang hadir yang ada di luar rumah ketika itu untuk bersalaman dan mengucapkan terima kasih kerana sudi sama-sama hadir membantu.

Kemudian aku  diingatkan oleh Hj. Din jiran sebelah rumah ayah agar berbincang sesama adik-beradik tentang perancangan selepas ayah dikebumikan iaitu tentang majlis majlis bacaan tahlil dan Yassin untuk arwah yang selalunya diamalkan. Dia juga berpesan tentang tentang bagaimana nak buat jika mahu bersedekah dengan jamuan sekali selepas tu memandangkan ketika ini ialah bula Ramadhan kerana kebiasaannya majlis tahlil di adakan selepas sola Maghrib dan diikuti dengan jamuan makan. Apa-apa pun perancangan kami, perlu dimaklumkan seawal yang mungkin untuk diberitahu kepada Tok Imam masjid untuk dia bersedia dan seterusnya dimaklumkan kepada ahli-ahli kariah masjid dan semu yang hadir pada hari itu.

Selepas itu aku terus pergi berbincang dengan Kak Lang dan kami setuju untuk adakan majlis tahlil sebelum masuk waktu berbuka puasa dan diikuti dengan sedikit jamuan juadah berbuka sekali. Selepas berbuka, baru kami akan solat di masjid beramai-ramai kerana jarak masjid hanya lebih kurang 500 meter saja dari rumah ayah. Kak Lang akan uruskan juadah berbuka manakalanya saya dan suaminya Sham akan maklumkan Tuan Imam dan jemputan.

Alhamdulillah, suasana kekeluargaan dan semangat yang ada di kalangan jiran-jiran memang masih kuat.Masing-masing seolah-olah tahu apa yang perlu dibuat.Para kaum ibu kebanyakannya ada di dalam rumah dan ada yang masih sama-sama membaca surah Yassin.Yang lelaki pula membantu memasang khemah dan urusan-urusan persiapan memandikan jenazah yang lain. Ada juga yang duduk berbual sesama mereka sementara menunggu apa yang nak dibuat dan urusan seterusnya. 

Ketika kami pindah ke rumah kami pada tahun 1988 dulu, keluarga kami ialah keluarga yang kedua berpindah. Kebanyakan mereka yang berpindah masuk ke rumah masing-masing selepas itu kebanyakannya adalah lebih kurang atau lebih sendikit daripada usia ayah sahaja. Sebagai antara keluarga yang terawal menetap di sana, kami juga saling kenal mengenal antara satu sama lain daripada peringkat ayah ,mak dan juga sesama anak-anak.

Alhamdulillah, segala urusan persediaan untuk memandikan jenazah dan mengggali kubur selesai lebih awal sedikit daripada yang dijangkakan. 

Seterusnya ialah hanya menunggu kehadiran Tok Imam yang akan memimpin urusan memandikan jenazah. Pada masa yang sama, Bilal Masjid, Hj. Ujang sudah pun mula menyediakan persediaan bahan-bahan untuk mandi dan juga memotong kain putih untuk urusan mengkafankan jenazah ayah di dalam rumah. Urusan van jenazah diselesaikan oleh Along, penggalian kubur dipantau juga oleh Along dan Sham dan persediaan menyusun khemah dan tempat berbuka puasa di selesaikan oleh adik-adik iparku yang lain Sayed dan Amir dengan dibantu mereka yang ada pada masa itu.

Sementara menunggu Tok Imam tiba, saya berpesan kepada Along ,semua menantu dan cucu lelaki ayah yang ada supaya bersedia untuk sama-sama mengangkat dan memandikan jenazah ayah nanti.

Lebih kurang jam 9.20 pagi, Tok Imam pun sampai.Saya terus sambut beliau dan maklumkan perancangan kami iaitu, selepas urusan mandi jenazah dan kafan selesai, jenazah ayah akan menaiki van jenazah ke masjid untuk solat jenazah. Pada awalnya ada yang mencadangkan disolatkan di rumah ayah saja tetapi memandangkan ruang yang amat terhad, saya putuskan dimasjid saja bila Tok Imam minta pengesahan saya.Lagi pun itu juga hajat ayah agar jenazahnya disolatkan di masjid.

Kemudian saya biarkan Tok Imam memeriksa peralatan dan bahan-bahan untuk memandikan jenazah dengan Tok Bilal. Dia beritahu saya dia akan maklumkan saya bila upacara memandikan jenazah ayah mahu dimulakan.


************************************

Lebih kurang jam 9.35 pagi, Tok Imam mahu mandi jenazah di mulakan. Seperti yang aku dan pastinya juga ayah harapkan, anak-anak, cucu-cucu dan menantu-menantu  lelakinnya ada bersama untuk bersama-sama mengangkat jenazah ayah dari ruang tamu rumah ke tempat mandi. Cuma adik bongsu lelakiku yang masih belum sampai lagi pada ketika itu. Perlahan-lahan kami mengikut arahan Tok Imam mengangkat ayah dari tempat dia dibaringkan ke tempat mandi di luar rumah.

Hatiku menjadi sebak dan hiba semula bila tangan kananku mula menyentuh belakang badan dan tangan kiriku pula menahan belakang kepala ayah untuk sama-sama mengangkat ayah.Terasa lagi lembutnya kulit ayah yang berlapikkan sehelai kain. Dengan cermat,perlahan dan tertib jenazah ayah kami angkat dan baringkan ayah di atas pelantar tempat mandi.Ketika ini sekali lagi air mata aku mengalir deras lagi.Tak mampu aku tahan ratapan hati aku kerana aku akan memandikan ayah buat kali yang terakhirnya dalam hidup aku.

Ketika itu juga kenangan-kenangan menjaga ayah semenjak dia mula hilang upaya lebih separuh badannnya kerana diserang angin ahmar lebih kurang 12 tahun dulu  menerjah kembali dalam benak dan fikiranku.

Awal tahun 2015. Hampir sebulan ayah di rawat di wad ICU Hospital Seremban ketika itu. Kemudian hampir 2 minggu di wad HDU dan seterusnya hampir 2 minggu lagi di wad biasa sebelum ayah dibenarkan doktor pulang ke rumah . Setelah bersama-sama menjaga mak yang diserang angin ahmar pada awal tahun 2001, ayah  pula sama-sama kami jaga dan jalani rawatan selepas itu. 

Agak sukar juga pada masa itu kerana kami juga sibuk dengan urusan kerja dan keluarga masing-masing terutamanya dengan anak-anak yang masih kecil. Bila difikirkan semula semua itu, hikmath yang terbesar ialah kami semua dapat juga menanganinya dengan berbincang, bertolak-ansur dan berkorban mengikut kemampuan dan kesesuaian masing-masing. Aku masih ingat lagi ketika aku terpaksa berulang-alik dengan tren Komuter KTMB dari tempat kerja di KL ke Hospital Seremban untuk penuhi giliran aku menjaga ayah di wad pada waktu malam kerana adik-adik perempuan aku hanya boleh ambil giliran mereka pada waktu siang. Aku akan terus pergi ke hospital dari pejabat dan tidur atas kerusi di sebelah katil ayah.Pagi-pagi aku akan bangun semula untuk pergi kerja.Aku tinggalkan pakaian kotor aku di tempat ayah dan adik-adikku akan ambil untuk cuci dan tinggalkan pakaian aku yang sudah siap digosok di hospital. Ketika ayah di wad ICU dan wad HDU, aku cuma tidur di mana-mana kerusi yang kosong di luar wad atau kadang-kadang aku berehat di surau.

Selepas ayah agak stabil lebih stabil dan boleh bergerak sendiri dengan tongkat, ada ketikanya ayah akan  tinggal di rumah aku  di Nilai untuk beralih angin daripada hanya tinggal di rumahnya di kampung. Antara perkara wajib yang aku  akan buat setiap kali ayah datang ke rumahku ialah untuk menggunting rambut dan mencukur misai dan janggut ayah.

Sejak masa ayah sihat dulu pun lagi, memang ada masanya aku suka guntingkan rambut ayah dengan sedikit kemahiran yang aku kutip semasa tinggal selama 5 tahun di asrama penuh dulu. Sebenarnya ayah pun tak berapa suka mulanya aku  mandikan dia masa dia sakit kerana dia lebih suka mandi sendiri. Namun setiap kali selepas aku gunting rambut dan cukur dia, aku paksa juga dia terima agar saya mandikan sekali agar aku dapat bersihkan sesetengah bahagian badan dia dengan lebih elok  lagi berbanding jika dia mandi dan bersihkan sendiri. Ini kerana dengan darupada lengan dan tangan kanan ayah yang sudah hampir 100 % tidak boleh dia gerakkan sendiri, kemampuan dia untuk membersihkan sepenuhnya badan dia sendiri juga sudah terhad. Jika di kampung, ada along atau adik-adik ipar lelaki aku  boleh bantu tetapi bila dia ada di rumah aku, hanya aku pilihan yang dia ada.


Pada mula-mula dulu ayah kekok juga tetapi lama-kelamaan dia boleh terima. Lama-lama kelamaan, masa antara ayah dan anak begitu juga sudah jadi masa yang kami sama-sama nantikan setiap kali ayah datang ke rumah saya atau bila saya balik ke kampung.
Kadang-kadang, bila saya sampai di rumah bila balik daripada kerja, ayah sendiri yang beri isyarat yang dia nak saya gunting rambut dan mandikan dia.

Jadi, bila Tok Imam minta aku sama-sama menyiram air pada badan ayah dan juga selepas itu sama-sama menyapu sabun untuk membersihkan ayah ketika jenazah ayah dimandikan, amat payah untuk aku mengawal emosi aku ketika itu.Dengan perlahan-lahan air bersih aku siramkan dan sapukan pada kepala dan muka ayah.Kemudian kusiramkan pula air pada dada, lengan, tangan dan belakang ayah. Air mata aku juga membanjiri kelopak mata dan menitis tanpa henti ketika kedua-dua tangan aku menyapu sabun seperti yang disuruh oleh Tok Imam untuk membersihkan kulit ayah yang sudah basah dengan air mandian. Tanpa aku sedar, mulut aku bercakap perlahan kepada ayah yang sudah terpejam matanya.

"Ayah.Lepas ini angah tak dapat  lagi nak mandikan ayah.Angah tak dapat lagi nak gunting rambut dan cukur ayah"

Dengan perlahan dan dengan linangan air mata hiba, aku usap kepada ayah sambil air disiramkan.Wajah ayah yang amat kelihatan tenang setiap kali air disiram tiada lagi senyuman atau ketawanya seperti mana setiap kali aku mandikan ayah dahulu. Bila Tok Iman minta tubuh jenazah diubah mengiring untuk disiram pula air di bahagian belakang, dapat aku sentuh lagi kulit ayah yang masih lembut sambil air kusiram dan diselang selikan dengan sapuan sabun dengan tanganku.

Ketika itu juga saya tidak sedar siapa yang berkata sabar kepada aku sambil menggosok-gosok belakang aku.
Masih terbayang lagi sampai saat ini rasanya tapak tanganku menyentuh tubuh ayah,  menyapu air dan sabun untuk membersihkan jenazah ayah buat kalinya terakhirnya dalam hidup aku.

Syukur Alhamdulillah, urusan memandikan jenazah ayah tidak selama dan sesusah yang dijangkakan kata Tok Imam. Dia mengagak pada awalnya banyak bahagian tubuh jenazah yang perlu dibersihkan kerana dia dimaklumkan yang ayah sakit kerana angin ahmar selama ini dan selalunya badannya agak tidak bersih kerana asyik terbaring. Bila kami terangkan yang selama ini meskipun ayah tak berapa sihat macam orang normal secara fizikal, dia masih mampu uruskan diri dia sendiri seperti mandi dan bersihkan diri dia setiap kali tunaikan hajat, baru Tok Imam faham dan berkata yang syukurlah kerana ayah telah dijaga dengan baik oleh anak-anak daripada apa yang saksikan pada masa itu. 

Selain daripada itu, kami adik-beradik juga mana-mana yang boleh akan bersihkan badan ayah dengan memandikan dia. Lagipun ayah bukanlah pesakit angin ahmar yang terpaksa terbaring sahaja di atas katil. Ayah masih boleh bergerak bebas di dalam rumah dan pergi keluar dihadapan rumah dengan bantuan tongkatnya.

Daripada segi kebersihan ayah, aku amat bersyukur kepada Allah kerana adik-adik perempuanku dan Along telah sama-sama menjaga ayah di kampung selama ini Along ada beritahu kebetulan dua hari sebelum ayah pergi, dia baru saja cukur rambut, misai dan janggut ayah. Disebabkan itu juga, wajah ayah memang nampak kemas dan bersih ketika jenazah ayah kami uruskan.


   *************************************
Selepas selesai dimandikan, dengan cermat jenazah ayah kami pindahkan semula ke dalam rumah.Kain alas dan kain kafan sudah pun disediakan.Sepanjang masa itu, aku masih tidak nampu menghentikan airmata yang terus membasahi pipiku. Aku hanya mampu berlutut di sebelah kiri kepala ayah ketika Hj. Ujang dan yang lain memimpin untuk mengkafankan jenazah ayah.Aku saksikan tubuh ayah dengan perlahan disarungkan dengan kain putih dengan dibantu oleh Along, menantu-menantu dan cucu-cucu lelaki ayah.Ketika memandikan ayah sebelum itu, sempat aku bisikkan kepada anak lelaki sulongku yang jika aku pergi nanti, pastikan adik-beradik lelaki juga yang sama-sama membantu menguruskan jenazahku seperti mana jenazah atuk diuruskan pada ketika itu.
'
Ketika ayah dikafankan  dan ketika aku berlutut itulah  tiba-tiba ada seseorang muncul dan berlutut juga disebelah kananku.Aku toleh dan aku lihat adik lelaki bongsuku Zaffroel telah pun sampai. Aku pegang bahu kanan dia dan tarik rapat kepada aku. Dia pun sedang menangis sambil teresak-esak memandang ayah yang disedang dibalut dengan kain kafan.

Tak mampu lagi aku nak melafazkan apa-apa selain daripada minta dia bersabar. Selepas itu, aku sempat berbisik perlahan-lahan kepada dia, jika selama ini dia "jauh" daripada ayah dan sukar nak membantu sama-sama menjaga ayah, cubalah buat yang terbaik bermula pada saat itu untuk memudahkan urusan ayah sehingga ayah dikebumikan. Pesan aku lagi, sebagai anak lelaki, banyak lagi perkara yang mampu kita lakukan agar Allah permudahkan urusan ayah di alam barzakh nanti. Dia hanya menganggukkan kepala dan dalam tangisan kami sama-sama melihat jenazah ayah dikafankan sehingga hanya bahagian muka ayah dibiarkan terbuka.

Seterusnya Hj. Ujang maklumkan kepada Tok Imam yang urusan mengkafankan jenazah ayah sudah siap.Tok Imam kemudian memaklumkan agar semua ahli keluarga terutamanya mak dan anak-anak boleh melihat dan mencium jenazah ayah buat kali terakhir sebelum ia dikafankan sepenuhnya.

Pada ketika inilah aku dapat dengar dan saksikan tangisan mak dan adik-adik perempuanku amat meruntun jiwa aku kerana aku juga merasakan apa yang mereka rasakan. Kami semua tidak akan dapat lagi melihat wajah ayah selepas itu.

Selepas mak, Along dan adik-adik pun mencium ayah dan seterusnya diikuti oleh semua menantu dan cucu yang ada di situ ketika itu. Aku biarkan semua mengucapkan selamat tinggal kepada ayah buat kali terakhir kerana hakikatnya itulah perkara yang aku takutkan selama ini. 

Tak sanggup rasanya aku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ayah yang selama ini menjadi sumber kekuatan aku untuk menunaikan tanggungajawab aku sebagai anak dan abang kepada adik-adikku. 

Sikap dan cara ayah menjalani dan melihat kehidupan sejak aku kecil hingga ketika dia masih sihat sepenuhnya dulu memang banyak mencorakkan siapa diri aku sekarang.Ayah ialah sumber inspirasi dan idola aku sebagai lelaki selama ini disebalik apa juga ketidaksempurnaan dan kekurangan ayah sebagai manusia biasa. 

Satu perbezaan yang amat ketara antara aku dengan ayah ialah ayah sukar untuk mengucapkan atau berkongsi perasaannya manakala aku sebaliknya terutamanya dengan mereka yang aku sayangi.
Ayah tidak banyak bersuara tetapi perbuatan dan riak wajahnya selalunya merungkai segala-galanya. 

Apa yang aku dapat ingat sejak aku kecil dan mula mengenali seorang insan yang kupanggil ayah ialah, ayah suka anak-anak dia belajar tentang hidup daripada apa yang dia buat berbanding apa yang dia cakapkan. Sebagai anak lelaki, aku dan along kerap ayah bawa sekali dengan dia untuk merasakan atau melihat pengalaman melakukan sesuatu.Sebagai contohnya, ayah bawa kami pada usia seawal 6 tahun untuk pergi ke sawah dan ke hutan untuk merasai sendiri pengalaman melakukan kerja-kerja kampung seperti mencari kayu api, bersawah, menjaga kerbau dan kambing, memancing dan menjala ikan dan sebagainya.

Ayah tegas dan kata-kata ayah langsung tak berani aku sanggah sejak aku kecil.Seperti kebanyakan ayah-ayah pada zaman aku kecil dulu, kata-kata seorang ayah ialah undang-undang bagi anak-anak dan juga isteri. Namun dalam ketegasan dan sikap ayah yang "garang" itu, dia ada cara tersendiri menunjukkan kasih sayang dia.

Antara yang paling aku ingat ialah ada masanya ayah akan mencium anak-anak dia bila dia balik daripada kerja pada lewat malam atau awal pagi. Aku tak tahu perkara itu sampailah aku sendiri lihat pada satu hari dan kebetulan aku tidur lewat tunggu dia balik bila dia cium dahi along dan kak lang pada ketika kami masih kecil dulu.

Tiba-tiba bahu aku ditepuk oleh Tok Imam. Elokkan engkau cium juga ayah buat kali terakhir sebelum ayah dikafankan sepenuhnya kata Tok Imam kepada aku. Baru aku aku sedar yang hanya aku semuanya menunggu aku.Perlahan-lahan aku selak kain yang menutupi muka ayah dan aku cium dahi ayah. Kemudian aku cium pipi kiri dan kanan ayah dan selepas itu aku biarkan Hj. Ujang menutup muka ayah dan selesaikan urusan mengkafankan jenazah ayah sepenuhnya.

Pada masa itu juga Along beritahu yang van jenazah sudah pun bersedia di luar rumah untuk membawa jenazah ke  masjid. Ia awal lebih kurang 15 minit berbanding masa awal yang dirancang. Pada masa itu aku berasa amat bersyukur di dalam hati keran Allah telah pun lancarkan dan  permudahkan urusan pengendalian jenazah ayah sehingga selamat dikafankan.

Ketika itu aku masih dengar suara mak dan adik-adik masih teresak-esak menangis. Kemudian dengan perasaan yang amat sayu dan hiba serta dengan airmata kami masih mengalir di pipi, jenazah ayah kami angkat dengan perlahan di atas keranda.Buat kali terakhirnya kami semua melihat jenazah ayah di rumahnya sendiri sebelum penutup keranda diletakkan dan jenazah ayah hilang dari pandangan mata kami. 

Dengan lafaz Bismillah dan Al-Fatihah keranda itu kami angkat menuju ke dalam van jenazah untuk ayah memulakan perjalanannya ke alam kuburnya.Sebaik sahaja keranda selesai dimasukkan ke dalam van, aku diingatkan oleh Sham, suami Kak Lang untuk meninggalkan pesan bagi pihak keluarga ayah kepada semua yang hadir.

Aku berdiri dengan rasa sebak di hadapan pintu van dan memandang kepada semua yang hadir. Bagi pihak mak dan adik-beradik, aku ucapkan terima kasih kepada semua jiran dan sesiapa saja yang hadir pada hari itu dan sama-sama membantu dalam menguruskan jenazah ayah dan memberi kami kata-kata semangat dan kesabaran. Aku mohon agar dihalalkan dan dimaafkan apa jua kesilapan ayah ketika dia masih hidup. 

Tak lupa juga sekiranya ayah ada berhutang kepada sesiapa atau ada apa-apa hal masih tidak diselesaikan dengan ayah, aku minta mereka berjumpa aku atau mana-mana adik-beradik aku untuk cuba diselesaikan.Akhir sekali aku minta juga semua yang hadir mendoakan agar roh ayah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Sebaik sahaja aku habis berkata-kata, terus aku masuk ke dalam dan pintunya pun ditutup. Di dalam van hanya ada aku dan Sham yang memegang keranda ayah dan aku memegang bahagian kepala keranda ayah. Aku hanya biarkan air mata aku terus melayan rasa sedih aku hinggalah keranda ayah diletakkan di dalam masjid untuk di solatkan. Sekali lagi aku bersyukur kerana sampai juga hajat ayah ketika hidupnya supaya satu hari nanti jenazah dia akan disolatkan di masjid ketika dikebumikan.

Urusan solat jenazah untuk ayah juga berjalan lancar dan selepas itu kami semua bergerak bersama jenazah ayah  menuju ke kawasan tanah perkuburan yang jaraknya hanya lebih kurang 500-600 meter sahaja dari rumah ayah.

Sebelum bertolak ke masjid tadi juga aku minta isteriku pandu kereta dan bawakan mak sekali ke kubur untuk menyaksikan ayah dikebumikan.

Itulah perjalanan aku yang terakhir dengan jasad ayah.Aku hanya mampu memegang memegang kepala keranda ayah dengan air mata yang masih tak mampu aku hentikan dan memandangnya ketika van jenazah mula bergerak menuju ke tanah perkuburan.

Kawasan perkuburan itu juga selama ini ialah tempat laluan alternatif aku bila aku balik ke rumah ayah. Selalunya aku hanya berpesan kepada anak-anak agar menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada semua mereka yang telah pergi setiap kali kami melaluinya kawasan itu namun nampaknya selepas ini, atuk mereka juga akan bersemadi di sana dan bacaan itu juga untuk arwah pula.

Sampai saja di sana lebih kurang hampir jam 11 pagi, aku lihat sudah pun ramai yang menunggu.Van jenazah berhenti di tepi pintu pagar masuk.Syukur alhamdulillah aku dapat tengok semua anak dan menantu lelaki ayah semuanya sudah bersedia di luar van untuk sama-sama membantu menurunkan jenazah ayah dan mengangkatnya ke kubur ayah di bawah khemah yang sudah siap terpasang.

Tok Imam pun nampaknya sudah bersedia menunggu.Jenazah ayah perlahan-lahan dan dengan cermat diangkat menaiki kawasan tanah perkuburan itu.Lubang kubur ayah pun kebetulan cuma beberapa meter sahaja dari pintu masuk di tepi jalan. Ketika itu cahaya matahari sudah pun mula memancar panas kepada semua yang hadir.

Sebaik sahaja keranda ayah diletakkan di bawah khemah, aku tanya isteriku di mana emak. Dia jawab emak tak nak datang dan tanpa bertanya lanjut aku terus menuju kepada Tok Imam. Pada saat-saat itu aku boleh mengerti kenapa emak tak sanggup berada di sana.Bukan mudah untuk melihat dengan mata sendiri teman hidup selama berpuluh tahun yang bergelar suami pada peakhiran hidupnya di dunia.

Sebelum bergerak kepada Tok Imam, aku berpesan kepada along dan Zafroell supaya sama-sama berada dalam lubang kubur ayah untuk menyambut jenazah  ayah untuk dkebumikan nanti. 

Sempat juga aku memandang sekeliling seketika. Kulihat semua yang ada ketika itu mengelilingi kubur ayah sambil menunggu. Dapat aku lihat hampir semua wajah-wajah yang ku kenal...anak-anak ayah dan cucu-cucunya, saudara-saudara mara rapat dan juga jiran-jiran yang sedang dalam kesedihan dan tanpa perlu kata-kata untuk mengungkapkanya.

Dengan langkah dan nada yang pilu aku menjemput Tok Imam untuk memulakan upacara pengkebumian. Setelah beberapa ayat Al-Quran dibacakan bersama-sama dengan Tok Imam, akhirnya keranda ayah dibuka.Kelihatanlah jenazah ayah yang lengkap dikafankan untuk dilihat oleh semua buat kali terakhir.Aku terus masuk ke dalam lubang kubur ayah dan diikuti oleh Along dan Zafroell. 

Kemudian Sham juga turun sama untuk sama-sama membantu. Terasa sejuknya tanah yang kupijak di dalam lubang kubur ayah.Aku juga dapat melihat liang lahat di mana akhirnya jasad ayah akan berada di dalam sana hingga kita semua dibangkitkan semula pada hari kiamat kelak. Aku dan Along cuba meratakan dan membersihkan lagi tempat masuk liang lahat itu agar tiada kemungkinan batu-batu atau ketulan-ketulan tanah akan menghalang jasad ayah yang akan dimasukkan nanti.

Masih aku teringat rasa haba udara dalam liang lahat ayah ketika kedua-dua tanganku menguis-nguis untuk membersihkan ketulan-ketulan kecil tanah di dalamnya. Dalam hati aku berkata juga bahawa di situ jugalah pengakhiran aku nanti yang cuma tidak tahu bila lagi.

Kemudian semuanya telah sedia dan siap dan  Tok Imam mengarahkan jenazah ayah diangkat dari kerana dan dihulurkan kepada kami di dalam lubang kubur.Along berdiri di hadapan sekali, kemudian aku dan diikuti oleh Zafroell dan Sham. Mula-mula kami sambut kaki ayah dan seterusnya perlahan-lahan jenazah ayah kami sambut sehingga aku memegang bahagian belakang dan bahu ayah dan Along memegang leher dan kepala ayah.

Pada saat-saat ini juga airmata aku makin deras mengalir. Secara serentak, kenangan aku ketika menjaga dan merawat ayah selama ini menerobos dalam kotak fikiranku. Ketika ayah mula keluar dari hospital dulu dan ketika dia masih terlalu lemah untuk bergerak sendiri,ada ketikanya aku sendiri yang akan angkat ayah untuk mandi di bilik mandi dan ke  tandas. Ada ketika kami semua perlu bersihkan ayah daripada najis dan kencingnya ketika dia masih tak mampu lakukan semua itu sendiri. 

Ada juga ketikanya aku akan angkat ayah ke kereta untuk bawa dia ke hospital atau ke mana-mana sebelum dia mampu berjalan dengan tongkat atu dengan kerusi rodanya.

Aku merasa hiba dan sebak sangat kerana itulah kali terakhir nampaknya aku akan dapat menyambut dan merasa untuk mengangkat tubuh ayah. Tiada lagi suara-suara dia yang selalunya tak puas hati atau rasa malu setiap kali aku perlu angkat atau mandikan dia. Tiada lagi peluang aku untuk aku bergurau-gurau dengan ayah dan lihat dia ketawa atau senyum tersengih-sengih bila aku buat  semua itu pada dia.Ayah sudah tiada untuk selama-lamanya.

Kemudian Tok Imam memberi arahan dari atas tentang bagaiman kedudukan jasad ayah untuk dimasukkan ke dalam liang lahat.Perlahan-lahan jasad ayah kami turunkan ke bawah sambil bahagian depan senget mengadap  ke arah liang lahat. 

Perlahan-lahan jasad ayah kami masukkan dalam keadaan senget itu ke dalam liang lahat.Kaki ayah di masukkan dahulu dan pada masa yang sama perlahan-lahan bahagian atas hingga ke kepala dimasukkan.Kami diminta agar jasad ayah berada dalam posisi mengereng dan membelakangkan kami.Along diminta oleh Tok Imam agar membuka kain kafan di kepala ayah agar muka ayah di biarkan terbuka.Seterusnya tali-tali yang diikat meliliti bahagian kaki, pinggang dan badan juga diminta dibuka dan dilonggarkan.

Akhir sekali, Tok Imam mengarahkan agar kepalan-kepalan tanah saiznya lebih kurang sebesar penumbuk diletakkan untuk menyendal bahagian belakang badan ayah dengan tanah agar ia kekal dalam keadaan mengereng. Aku dan along letakkan 2 kepalan tanah yang lebih kurang sama saiznya dan akhirnya jasad ayah sudah selesai disemadikan di dalam liat lahat kuburnya.

Setelah kedudukan jasad ayah sudah kekal kami beritahu Tok Imam yang melihat kami dari atas untuk dapat kepastian daripada dia yang semuanya sudah elok dan sedia untuk yang seterusnya.Sebelum papan penutup liang lahat diturunkan, aku sempat memegang kepala ayah dan melihat wajah ayah buat kali terakhirnya. Dalam hati aku ucapkan selamat tinggal buat terakhir kalinya sambil membaca Al-Fatihah berulang kali. Akhirnya aku dengar Tok Imam berkata agar papan itu boleh menutup lubang liang lahat kubur dan perlahan-lahan tanah boleh diturunkan.

Akhirnya saat-saat itu tiba jua. Jenazah ayah akan ditimbus sedikit demi sedikit dengan tanah yang di mana kita semua kita datang. Tok Imam mengarahkan agar kami semua yang masih berada di dalam lubang kubur ayah menolak rapat papan penutup liang lahat ke dinding atas liang lahat agar ketika tanah ditolak sedikit demi sedikit menimbus lubang. Beberapa potongan dahan-dahan kecil kayu yang masih  berdaun hijau dihulurkan kepada kami di bawah sebagai penapis sementara agar ketulan-ketulan tanah yang ditolak masuk jatuh perlahan-lahan dan tidak terus menghempap papan dan juga kaki-kaki kami. 

Pada ketika ini juga aku dapat perhatikan hampir semua saudara-mara lelaki yang hadir sama-sama membantu menggunakan cangkul, kaki dan juga tangan mereka menolak tanah untuk menimbus lubang kubur.Ketika tanah yang ditolak masuk lebih kurang hampir separuh tinggi lubang dan papan penutup liang lahat suah melekat tanpa bergerak, kami semua pun naik ke atas dan kerja-kerja menimbus lubang diteruskan sampai selesai.

Kemudian tanah kubur ayah diratakan  dan acuan papan empat segi diletakkan untuk dimasukkan tanah dan kemudian diratakan semula.Akhir sekali nesan kayu sementara ditanamkan dibahagian kepala liang lahat tanah kubur ayah yang kemudian dibalut kemas dengan kain putih. Dengan itu sempurnalah sudah kerja-kerja menanam jenazah ayah dan persediaan untuk bacaan talkin oleh Tok Imam pun dimulakan. Khemah diselaraskan semula dengan kedudukan kubur dan tikar untuk Tok Imam dan mereka yang hadir dibentangkan dan tanpa melengahkan masa Tok Imam pun mengambil tempat duduk di atas tikar bersama sesiapa yang hadir dengan ruang atas tikar yang ada.Manakala lain-lain yang hadir tetap sama-sama berdiri  mengelilingi kubur ayah.

Aku mengambil tempat betul di belakang sebelah kanan Tok Iman dan duduk bersila. Pada ketika ini aku rasa tiada lagi air mataku yang tinggal untuk mengalir.Aku cuma mampu tunduk diam sambil mendengar perkata-perkataan dari mulut Tok Iman ketika talkin dan kemudiannya doa dibacakan.

Dalam sedih dan hibaku sejak aku jejakkan kaki di rumah ayah pagi itu, dalam hatiku tetap bersyukur kepada Allah kerana urusan jenazah ayah daripada mula ayah dibaringkan sebelum dimandikan hingga kerja-kerja memasukkan jasad ayah ke dalam liang lahat dan akhirnya hingga lubang kubur ayah ditimbus berjalan lancar tanpa sebarang masalah  atau halangan.Syukurlah semuanya telah dipermudahkan oleh Allah.

Selepas itu, seorang demi seorang mereka yang hadir mula meninggalkan kubur ayah.Sebelum pergi, ada juga yang sempat datang kepada aku dan adik-beradikku yang lain mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata menenangkan kami.

Jam pada ketika itu sudah menunjukkan lebih 11.30 pagi. Matahari pun sudah hampir-hampir tepat berada di atas kepala dengan pancaran sinarannya mula terasa dikulit aku.Aku biarkan isteri dan anak-anak aku balik dulu sementara aku masih berdiri di sebelah pusara ayah. Khemah yang menutupinya tadi pun sudah siap ditanggalkan.

Akhirnya yang tinggal cuma aku seorang di pusara ayah. Aku hanya merenung nisan ayah yang berbalut kain putih. Masih terbayang-bayang lagi dalam benak aku jasad ayah yang baru sahaja aku sentuh dan sama-sama letakkan di dalam liang lahat tadi.Berkata aku dalam hati..." Bagaimanalah agaknya jasad ayah di bawah sana dalam keadaan pancaran matahari yang sudah terik ketika itu".

Aku mengelamun sebentar dan mula teringatkan semula saat-saat aku terima berita pemergian ayah pada pagi itu. Air mataku tumpah lagi bila tiba-tiba aku tersentak semula bila ada kereta yang lalu. 

Aku sedar yang hanya jasad ayah yang ada dibawah sana dan alam sebenar ayah ketika itu ialah cuma rohnya yang akan menjalani kehidupan di alam barzakh. Kemudian aku duduk di salah satu kubur di sebelah pusara ayah dan mataku masih merenung pusara ayah.

12 tahun aku dan adik-beradik sama-sama menjaga ayah dengan kesan stroke yang menyerangnya. Selama 43 tahun aku sempat menikmati kasih sayang ayah sebagai anak lelakinya. Di sebalik ketidaksempurnaan aku, along dan adik-adik sebagai anak-anak ayah, aku cuma mampu mengharap dan berdoa agar ayah dan Allah ampunkan dosa-dosa dan kekurangan-kekurangan kami dalam menunaikan tanggungjawab kami kepada ayah.

Kini ayah telah pun pergi dan sebagai anak lelaki, aku mohon kepada Allah agar aku masih mampu menjaga ayah di alam barzakh dengan apa jua amalan-amalan dan doa-doa daripada aku selagi mampu.

Selalu aku diberitahu, aku baca dan aku dengar yang hanya tiga perkara yang akan tidak terputus hubungan antara kita dunia selepas kita pergi iaitu sedekah dan amal jariah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. Hanya itu yang mampu menjadi pembantu kita menghadapi ujian dan balasan di alam barzakh. Kini sampailah pula masa aku untuk membuktikan yang aku menjadi anak yang soleh walaupun ayah sudah tiada lagi untuk melihatnya di dunia ini. Aku akan sentiasa berdoa pada Allah agar apa jua amalan-amalan baik ayah dan ilmu-ilmunya bermanfaat yang dikongsinya di terima Allah dan pada aku, ini pula  janji aku pada ayah
"In sha Allah ayah. Walapun ayah sudah pergi, angah akan tetap akan cuba jadi anak yang soleh sekiranya angah tak cukup soleh ketika ayah masih ada. Angah juga akan terus sama-sama ingatkan anak-anak ayah lain juga tentang itu"

Itu janji aku pada diri, pada ayah dan pada Allah.Pemergian ayah akan selama-lamanya aku ingati dan dengan izin Allah semoga aku dan semua anak ayah juga akan mampu menjadi anak-anak yang lebih baik lagi dengan amanah untuk menjaga mak pula dan terus menghantar doa-doa dan amalan-amalan baik untuk menerangi kehidupan ayah di sana.

Kemudian aku buka surah Yassin yang ada dalam handphone aku. Aku baca surah Yassin dengan niat untuk ayah sebelum pusara ayah aku tinggalkan pada hari tu. Dalam esakan dengan airmata, baris demi baris dan ayat demi ayat aku perdengarkan pada telinga aku dengan harapan roh ayah juga melihat dan mendengarnya. Jasad ayah sudah tiada tetapi hakikatnya ayah akan terus hidup dalam hidup aku.

Setelah bacaan Yassin aku selesaikan, aku sedekahkan lagi bacaan-bacaan Al-Fatihah untuk roh ayah sambil aku bangun dan pergi ke pusara ayah.Kemudian tangan kiri aku  memegang kain putih yang membalut nesan ayah dan aku genggam ketulan-ketulan kecil tanah di pusara dengan yang kananku dan aku ulang lagi janji-janjiku pada ayah dalam hati.

Akhirnya, sampailah juga saat-saat yang aku perlu terima dan redha.Pusara ayah langkah demi langkah aku tinggalkan dengan janji dan harapan agar diberikan oleh Allah kekuatan dan jalan untuk istiqamah dengan amalan-amalan kebaikan di dunia sebagai anak yang pastinya doa-doaku sentiasa roh ayah harapkan dan agar roh ayah sentiasa tidak akan rasa keseorangan.

Al-Fatihah untuk ayah dan semoga kehidupan ayah damai di sana.Aamin!


    *****************************************************

GAMBAR-GAMBAR KENANGAN BERSAMA AYAH







2006, Dengan arwah Uwan Bedah bt. Sudin.Nenek sebelah Mak.

2013

2013

2013

2014

2013

2014

2014

2013

2010

2014

2014

2005

2005

2013

2013

2013