Wednesday 17 February 2010

Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-11 tahun

13 Februari 1999 dah lama dulu dan 13 Februari 2010 baru saja berlalu...sempat habiskan masa menyambut hari ulang tahun perkahwinan kami di Pulau Pangkor...just a day trip but it was far more meaningful in our marriage.

Lebih kurang 11 tahun yang lalu aku ke Pulau Pangkor bersama isteriku. Mac 1999, lebih kurang sebulan selepas selesai majlis perkahwinan. Hanya aku dan Ayu...berdua berbulan madu di Pulau Pangkor. Percutian yang indah dan hanya kenangan-kenangan manis yang mampu aku ingati setiap saat aku teringatkan Pulau Pangkor selepas itu.

Dan aku aku kembali semula ke Pulau Pangkor bersama Ayu selepas 11 tahun dan pastinya kali ini bukannya berdua lagi. Datang semula bersama anak-anak ke tempat yang pernah mencatat kenangan manis pastinya mencipta suasana yang lebih bermakna dan membahagiakan.
Tiada apa yang lebih membahagiakan lagi selain daripada memikirkan bahawa rumahtangga yang aku bina bersama Ayu masih kukuh dan kekal sehingga saat kami kembali semula ke sini.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berbulan madu yang pertama. namun tiada yang lebih indah ketika aku datang semula pada kali ini. Ketawa riang anak-anak yang begitu seronok memberi makna yang berbeza dalam hidup aku dan juga Ayu. Masih teringat lagi ketika aku dan Ayu naik bas di hentian menaiki komuter dari Rawang ke hentian Pudu Raya. Naik bas ekspress ke Jeti Lumut dan kemudian balik dengan beg yang sarat dengan barang-barang naik bas semula, kemudian komuter dan ambil teksi "sapu" balik ke rumah.
Alhamdulillah segala-galanya lebih mudah dan selesa selepas 11 tahun. Apa yang akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat ialah semua perkara indah dan menyeronokkan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Hanya rasa kesyukurann yang tidak terhingga yang mampu aku ucapkan dalam hati aku kepada Allah dengan segala rahmat dan berkat-Nya sepanjang 11 tahun aku melayari kehidupan dalam perkahwinan bersama Ayu.

"Ya Allah. Aku mohon agar Engkau kekalkanlah kebahagiaan dalam rumahtangga kami. Aku bersyukur dengans sebagala apa yang Engkau telah berikan sehingga hari ini.Aku mohon agar kami mampu hadapi apa sahaja dugaan dan terus menikmati rezeki yang Engkau kurniakan untuk kami. Aku mohon agar kami mampu terus tunaikan tanggugjawab kami di dalam perkahwinan kami ini dan mendapat keredhaan-Mu sehingga akhir hayat kami sebagai suami isteri. Amin"
Apa lagi yang aku mahukan dalam perkahwinan? Segala-galanya Allah telah limpahkan kepada aku selama ini dan semuanya itu akan kekal menjadi tanggungjawab yang aku mahu tunaikan selama-lamanya.
Pernah satu ketika aku ditanya " Apakah makna cinta?"
Jawapan aku agak mudah. Cinta atau sayang ialah tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Jika aku berani melafazkan cinta kepada Ayu sejak lama dulu...ia datang dengan setiap tanggungjawab yang mahu aku laksanakan satu persatu selama-lamanya. Dengan hadirnya zuriat dalam kehidupan aku, makin bertambahlah tanggugnjawab yang mesti aku tunaikan juga. Aku yakin, sekiranya kita mahukan sesuatu yang baik untuk sesiapa pun terutamanya untuk keluarga kita, insyaAllah akan berikan kita jalan selagi kita terus berusaha dan berdoa memohon pada.Nya. Banyak perkara yang berlaku banyak bergantung kepada kita. Jika kita mahukan perkahwinan kita bahagia dan kita lakukan apa yang termampu dengan ikhlas..insyaAllah bahagialah yang kita akan nikmati.


Bukan kecil cabaran dalam perkahwinan tetapi setiap ujian yang dillalui bersama itulah yang akan menguatkan lagi perkahwinan kita.
Cinta dan sayang perlu diluahkan sama ada dengan kata-kata dan perbuatan...
Apalah makna cinta yang dilafazkan andai tanggungjawab diabaikan dan apalah nilainya kebahagiaan pada akhirnya jika hidup kita makin jauh dari berkat dan rahmat daripada Allah.
Bagi seorang isteri, dia boleh memilih untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu asalkan dia taat perintah suami, solat, puasa dan menjaga kehormatannya. Macam mana pulak sebagai suami? Bukan mudah juga untuk seorang suami untuk memimpin isteri dan anak-anak ke arah yang diredhai Allah.

Selepas 11 tahun...semoga Allah berikan aku lebih kekuatan dan jalan untuk terus menunaikan tanggungjawab aku sebagai suami. Masih banyak perkara yang perlu aku lakukan agar perkahwinan yang aku bina selama ini terus mendapat rahmat dan berkat-Mu.
Aku takkan mungkin menjadi suami yang sempurna tetapi memadailah bagi aku sekira mampu menjadi suami yang tidak akan merelakan isteri dan anak-anaknya lalai dan leka dengan perintah Allah. InsyaAllah.

Tuesday 9 February 2010

Semalam yang aku tinggalkan

semalam dah berlalu...takkan datang semula...esok hari yang baru...tetap baru walaupun aku mungkin masih buat perkara yang sama...tapi sudah pada hari dah tarikh yang lain.

Aku berubah? memang aku berubah....rasanya banyak juga sebab aku sendiri dapat melihatnya. Setiap saat aku berubah sebab setiap saat yang datang takkan sama dengan sestiap saat yang berlalu.

36 tahun...itulah umur aku esok..insyaAllah kalau dipanjangkan umur oleh Allah. Apa agaknya yang telah aku lakukan dalam tempoh selama itu...
siapa yang dapat menilau semua itu?
Berapa banyakkah kebaikan dan juga kesilapan yang telah aku buat?

Adakah aku lebih baik daripada semalam...jika makin baik pun...daripada kaca mata siapa?
Jika makin tak baik sekali pun..siapakah yang boleh menilainya.

Menginjak usia ke lewat 30-an...aku pun mahu berada di mana yang sepatutnya aku berada pada masa ini. Adakah memadai apa yang aku sekarang. Rasanya masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu aku tangani.

Anak-anak aku makin besar dan makin pandai menilai apa yang mereka lihat ...apa saja yang aku tunjukkan dan lakukan.

Isteri makin lama hidup bersama aku dan semakin banyak perkara tentang aku yang dia makin dapat lihat dan mengerti. Hakikatnya setiap langkah aku sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh insan-insan yang paling hampir dengan aku dalam hidup aku ini.

Mak dan ayah semakin hari semakin dapat menilai berbaloikah pengorbanan mereka melahirkan dan membesarkan aku hingga aku mampu berdiri begini sekarang.


Adakah aku makin menjadi seorang ayah, suami dan anak yang baik? Bukan pada aku jawapannya cuma aku mengharap aku dapat menjadi seorang yang membahagiakan hidup mereka.
Semalamn yang aku tinggalkan hanya mampu aku kenang dan renungkan. Takkan mampu aku mengubah apa yang telah aku tinggalkan.

Andai aku berdosa , hanya ampun yang mampu aku pohonkan. Andai tidak elok perbuatan aku, semoga aku tidak akan mengulanginya lagi kerana aku hanya mampu mengubah apa yang akan berlaku esok. Aku cuma mampu mengusahakan agar sesuatu yang lebih baik akan berlaku dengan izin Allah.

Banyak yang telah aku nikmati...mungkin terlalu banyak berbanding mereka yang selalu aku perhatikan. Banyak juga yang masih aku tidak ada atau nikmati lagi tetapi itu bukanlah yang terlalu merisaukan hati aku sendiri.

Lumrah hidup...kita menilai dan dinilai sesama manusia. Selain itu, yang pasti setiap apa yang kita buat juga dinilai oleh Allah.

Dalam banyak perkara, kita mungkin lupa, penilaian Allah yang lebih penting daripada segala-galanya walaupun perlakuan kita sebaliknya.
Diakhirnya...setiap apa yang ditinggalkan semalam tetap juga dinilai. Apa yang kita tinggalkan juga akan "mengikut" kita selagi kita bernyawa.
Biasanya....andai kebaikan yang kita tinggalkan..kebaikan jugalah yang akan bersama kita. Andai " najis" yang kita tinggalkan...bau itulah yang akan melingkari kita selamanya-lamanya.


Merenung kembali secara ringkas laluan yang aku tempuhi dalam hidup...bila berkawan...sukar aku memikirkan untuk aku khianati kawan aku sendiri namun pada masa yang sama aku sedar...tidak semua yang aku kenal sebagai kawan akan berfikir seperti aku. Mungkin juga aku begitu rapat dengan ramai sangat kawan tapi cukuplah kiranya aku tak pernah mengkhianati seorang pun daripada mereka. Sakit juga hati mendengar atau bila mengetahui kawan-kawan mengkhianati atau berprasangka dengan kita tapi aku rasa tidak mungkin dapat mengawal apa yang mereka fikir. Mungkin takkan semua mampu mendapat penjelasan aku namun kemaafan aku tetap ada dan selama-lamanya aku akan memaafkan.

Apa yang aku tinggalkan semalam juga akan menentukan hala perjalanan aku untuk esok. Pada tahap ini atau sampai bila-bila pun, hakikatnya aku takkan dapat semua yang aku mahukan.
Cuma harapan aku dan azam aku agar aku dapat capai sesuatu yang lebih baik daripada semalam. Dugaan sudah pasti dan halangan akan ada sepanjang masa namun itu jugalah hakikat hidup sesiapa pun.

Sebagai manusia, aku cuma mahu jadi hamba yang makin takutkan Allah dan cuba elakkan perkara-perkara ke arah dosa kepada-Nya.

Sebagai anak , semoga aku tetap sihat untuk terus menunaikan tanggungjawab aku kepada mak dan ayah aku.Paling tidak pun aku masih ada mak dan ayah yang masih mampu mendoakan sesuatu untuk aku dalam aku meneruskan hidup aku.

Sebagai suami, aku mahu terus menjadi seseorang akan terus membahagiakan isteri aku.
Sebagai ayah, semoga anak-anak aku mendapat kehidupan yang lebih baik dan capai apa yang mungkin aku tak pernah capai pada masa dulu.

Aku punyai banyak kelemahan namun itu takkan lemahkan semangat aku untuk mencapai seuatu yang lebih hebat dalam hidup aku. Biarlah aku tinggalkan lebih banyak "wangian" semalam untuk aku kenang keharumannya pada esok hari kerana bau wangi itu akan hilang juga.

Hidup didunia ini hanya untuk mencari keredhaan-Nya dan aku berharap agar semua insan yang aku sayangi berkongsi perkara yang sama. Kebahagiaan hidup aku adalah suatu perjalanan yang aku mahu nikmati pada setiap langkah yang aku hayunkan. Telah terlalu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan untuk aku syukuri berbanding apa yang masih tidak dapat rasai.

Semoga Allah panjangkan lagi umur aku untuk aku teruskan lagi membuatkan kebaikan yang mungkin aku masih lalai untuk melakukannnya semalam. Aku mohon Allah jauhkan aku daripada apa juga kemungkaran yang akan menghumbankan aku ke dalam neraka.

Amin.