Thursday 26 January 2017

CABARAN LARIAN TRAIL DI BUKIT KIARA 2017

Trail run
Cabarannya berbeza dan kemahiran yang diperlukan juga berbeza kerana laluan-laluan yang perlu dilalui oleh para pelari ada lebih banyak variasi dan juga risiko keselamatannya. Saya sukakan larian trail bukan kerana betapa pantas saya boleh tamatkan lariannya tetapi kerana cabaran-cabarannya dan pada masa yang sama menikmati setiap laluan yang berlatarbelakangkan suasana semulajadi berbanding larian-larian di permukaan jalan yang biasa.

Berlari dan ada ketikanya berjalan menyusuri laluan permukaan tanah gondol dan berlumpur serta ada yang berbatu memberikan cabaran yang benar-benar berlainan untuk para pelari.

Tidak juga dilupakan beberapa kemahiran lain yang  berbeza juga diperlukan untuk menawan satu larian trail berbanding berlari di atas permukaan jalan yang biasa.

Saya datang untuk berlari di Kiara Conquer The Trails 2017 dengan berbekalkan pengalaman menyertai beberapa acara larian trail penuh dan separa trail pada tahun 2016 seperti di bawah.
  • Hulu Langat Trail Run, trail penuh (10km)
  • My10k@UKM, separa trail(10km)
  • Green Warrior Run 2.0, separa trail(10km), Taman Botani Shah Alam
  • Semenyih Eco Trail Run 2.0 , trail penuh (16km)
  • My10k@UPM, separa trail (10km)
  • Beestorm Trail Run, separa trail (9km), Taman Botani Kepong
Di antara semua di atas, Semenyih Eco Trail Run 2.0 pada April 2016 ialah larian trail yang paling mencabar yang pernah saya tamatkan. Cabaran dan halangan berbukit-bukitnya betul-betul telah menguji kekuatan ketahanan mental dan fizikal saya terutamanya pada otot-otot dan joints bahagian pinggang ke bawah. Pengalaman tersebut betul-betul menyedarkan saya bahawa larian trail ini memerlukan persediaan fizikal dan mental yang berbeza selain daripada persediann kelengkapan lain yang berbeza juga.


Persediaan-persedian asas yang saya buat untuk larian trail
i) Kasut
Kelengkapan pertama yang perlu saya dapatkan untuk larian trail pertama saya dulu ialah kasut khas untuk larian trail atau off road.Perbezaan yang paling ketara di antara kasut larian biasa dan kasut trail ialah permukaan tapaknya yang mempunyai corak dan rekabentuk yang berlainan.Ia adalah untuk tujuan cengkaman dan tidak tergelincir  ketika kaki menyentuh permukaan tanah, rumput, batu dan batang kayu dan akar pokok di sepanjang laluan. 

Walau bagaimana pun, jika laluannya  basah, para pelari mesti juga berhati-hati kerana permukaan-permukaan itu masih licin bila bersentuhan dengan tapak kasut ketika berlari  walaupun dengan mengggunakan kasut trail

Pada mulanya saya ingatkan kasut hiking boleh saya gunakan untuk larian trail, namun saya silap.Bila saya cuba pada larian trail pertama saya ketika Hulu Langat Trail Run 2016, saya memang tidak rasa selesa dan menyakitkan kaki saya. 

Memandangkan larian trail bukanlah acara yang saya rancang untuk sertai dengan kerap dalam kalendar larian tahunan saya, saya hanya mencari kasut trail yang sesuai dengan harga yang paling ekonomi sahaja.Setelah bertanya pendapat kawan-kawan yang berpengalaman dalam larian trail, saya beli kasut Adidas TR7 di kedai sukan Al-Ikhsan dengan harga lebih kurang RM200 sahaja.Namun harga untuk model yang sama telah kurang daripada RM200 sekarang.

ii) Bekas air
Kelengkapan lain yang asas ialah  beg tali pinggang yang dilengakapi dengan botol air. Ini kerana, acara larian  trail tidak menyediakan kemudahan WS yang banyak dalam laluannya berbanding larian di jalan biasa. Saya juga diberitahu, ada acara yang WS tidak disediakan cawan juga.Untuk itu, saya beli beg tali pinggang jenis Karrimor dengan dua botol kecil dengan beg berzip kecil untuk letak barang-barang lain untuk berlari.Harganya ketika itu kurang daripada RM100 di kedai SportsDirect.com

iii) Bekas/plastik kalis air
Untuk mereka yang membawa smartphone ketika berlari dan sekiranya laluan mempunyai tempat yang perlu mengharungi sungai seperti laluan Hulu Langat Trail run.Ia juga  sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya hujan ketika dalam larian. Untuk ini, saya cuma sediakan plastik dengan penutup kalis air untuk letakkan smartphone saya dan letakkannya dalam beg  pinggang saya(waist pouch).

iv) Lain-lain kelengkapan
Pada mulanya ramai kawan-kawan yang mencadangkan saya membeli hydration bag yang mereka kata lebih selesa digunakan untuk larian trail. Namun apabila saya semak harganya di pasaran, saya tangguhkan dulu keputusan pada masa itu  untuk membelinya kerana harganya agak mahal dan saya masih tidak pasti adakah pelaburan saya berbaloi kerana saya memang tidak merancang untuk menyertai acara larian dengan kerap atau untuk jarak yang terlalu jauh seperti larian trail ultra.

Selain daripada itu juga, saya ada melihat sesetengah peserta larian trail membawa tongkat untuk kegunaan mereka dan bagi  saya, saya tidak memerlukannya kerana ia akan mengganggu larian saya.Kebiasaannya tongkat ini digunakan untuk memberi sokongan terutamanya ketika menaiki laluan di cerun yang menaik.

Setelah mempertimbangkan semua faktor itu, saya membuat keputusan untuk mencuba larian trail dengan hanya menyediakan kelengkapan-kelengkapan yang asas dahulu dan saya akan melabur lagi jika benar-benar ada keperluan untuknya.

v) Persediaan fizikal
Selain daripada itu, persediaan fizikal untuk larian trail juga berbeza.Larian trail memerlukan lebih kekuatan dan ketahanan otot pada bahagian pinggul, lutut dan buku lali terutamanya. Ini kerana permukaan-permukaan di sepanjang larian trail adalah pelbagai dan kita terpaksa berlari dengan kelajuan dan kawalan otot-otot berkenaan secara berbeza untuk setiap permukaan yang rata, menaiki bukit dan juga menuruni cerun dan  bukit.

Sebagai contohnya, jika kita perlu berlari di laluan tanah dan berbatu besar dan kecil, kita perlu pastikan tapak kaki kita mendarat dengan tepat di atas setiap permukaan dan perlu menyeimbangkan badan untuk membuat langkah yang seterusnya dengan lancar dan selamat. Ini memerlukan kekuatan otot buku lali dan lutut untuk menyerap hentakan ketika mendarat itu dengan firm supaya tidak tergelincir dan seterusnya melonjakkan badan kita semula untuk langkah yang seterusnya.

Ada ketikanya kita juga perlu melompat untuk melepas halangan-halangan seperti tebing, batang pokok yang merentasi laluan dan mengelakkan lubang-lubang dan laluan berlopak air atau berlumpur di sepanjang laluan.

Jadi senaman-senaman yang dapat menguatkan  otot-otot pada pinggul, lutut dan  buku lali seperti amat-amatlah akan membantu kita sebagai persediaan awal sebelum mencuba larian trail.

vi) Cara berlari yang selamat
Melainkan kita sudah biasa dengan laluan itu, apa yang yang perlu kita hadapi di hadapan kita seterusnya pada setiap langkah ketika larian trail adalah sukar diramal.

Oleh sebab itu, pelari mesti sentiasa peka, berhati-hati  dan fokus dengan pandangan mata dan pendengaran untuk bertindak-balas dengan pantas dengan pergerakan kaki,tangan dan badan untuk keseimbangan pada sepanjang laluan.Ini kerana larian trail pada saya mempunyai risiko keselamatan yang jauh lebih besar berbanding larian di jalan biasa terutamanya bagi  pelari mementingkan kelajuan dalam larian trail mereka. 

Satu lagi yang saya perhatikan ada pelari yang hanya memegang botol air ketika berlari di larian trail dan saya rasa ia amat tidak sesuai daripada segi keselamatan.Ini kerana kita memerlukan tangan kita dalam keadaan yang bebas untuk memberi tindakbalas serta-merta sekiranya kita hilang imbangan atau tersadung ketika dalam larian dengan memegang untuk berpaut pada sesuatu. Dengan adanya sesuatu dalam pegangan tangan kita, ia akan melambatkan tindakbalas spontan kita untuk memegang sesuatu untuk berpaut dan sebagainya. Ini akan mendedahkan kita kepada bahaya terjatuh kerana tersadung pada batu, kayu dan akar atau kerana hilang imbangan badan.

Pada saya, apabila menyertai acara larian trail, saya hanya mahu menikmati cabaran fizikal dan persekitaran semulajadi pada sepanjang laluannya saja  tanpa sebarang kecederaan atau kesakitan dan kelajuan atau masa saya perlu tamatkan larian  saya adalah perkara yang kedua.

Sebelum saya sertai acara Kiara Conquer The Trail Run ini, saya ada diberitahu oleh kawan saya di pejabat yang pernah sertainya bahawa laluannya memang amat mencabar. Walaupun bagaimanapun, saya rasa yakin saya boleh hadapinya kerana  saya sudah pengalaman laluan larian Semenyih Eco Trail pada 2016 sejauh 16km sedangkan larian ini cuma 13km sahaja. Namun begitu saya masih juga membuat persediaan-persediaan kecergasan dan otot  bawah pinggang dan core yang perlu beberapa hari sebelum acara.

vii) Air dan Supplements
Untuk larian kali ini, saya menggunakan beg tali pinggang dengan botol dan sediakan satu peket energy gel sahaja jika diperlukan. Para pelari juga telah dimaklumkan bahawa pihak penganjur tidak akan menyediakan cawan atau apa-apa bekas untuk minum air di setiap WS dan ia perlu dibawa sendiri oleh setiap pelari.

Pengalaman-pengalaman dalam acara-acara larian sebelum ini mengajar saya bahawa ketika mesti sentiasa bersedia kerana cabaran yang akan kita hadapi ketika setiap acara pastinya ada yang berbeza  dan  tanpa diduga juga.

Pada larian kali ini saya buat keputusan untuk memakai baju larian Anonymous Runners yang baru berbanding memakai vest seperti yang saya lakukan sebelum ini.

Sebelum larian
Saya sampai di tempat acara larian di Taman Lembah Kiara lebih kurang jam 6.30 pagi selepas solat Subuh di Masjid At-Taqwa TTDI berhampiran. Ketika sampai, masih belum ramai peserta yang sampai.Kawan yang pertama sekali saya jumpa ialah Lim Wah.Dia menyertai Kiara Trail Run ini buat kali kedua. Tidak lama kemudian saya berjumpa Alzmer daripada kumpulan larian Anonymous Runners. Kemudian saya juga bertemu buat kali pertama kawan FB saya, Amirul Hafizi.
Dengan kawan-kawan, Lim Wah, Khadree Alzmers dan Amirul Hafizi.
Seterusnya macam biasa, saya mengambil gambar-gambar sebelum acara bermula. Rupa-rupanya saya tersilap yang saya sampai awal kerana saya ingat FO ialah pada jam 7pagi tetapi sebenarnya jam 7.30 pagi.

Sebelum bermula, saya juga berjumpa dengan kawan-kawan lain seperti Yusmadi dan Saifudeen Shah dan kami sempat bersembang bersama sementara menunggu FO.
Dengan baju AR yang baru.
"Forget the pace just run" is the tagline.

Saifudeen Shah dan Alzmer

Yusmadi
Ketika para pelari sudah mula berkumpul di FO line, kebanyakan peserta yang saya jumpa yang pernah sertai acara ini tahun lepas juga ada memberi tahu saya lagi betapa mencabarkan laluan yang akan kami hadapi. Bila kerap sangat dengar cerita begitu, hati saya jadi berdebar-debar juga namun secara mentalnya, saya yakin saya boleh lalui semua itu.
  
Keterujaan sebelum larian dimulakan di garisan permulaan
Di  garisan permulaan/Flag Off(FO)
Untuk kali ini, saya bernasib baik kerana dapat berada di barisan hadapan untuk permulaan.Suasana berada di barisan kebiasaannya lebih mengujakan dan menyeronokkan.Jika kita toleh ke belakang sesekali, kita akan nampak berapa ramainya peserta larian yang juga teruja untuk memulakan larian seperti kita.Selain itu kita juga akan dapat nampak variasi gambaran wajah mereka yang juga berbeza-beza seperti ada yang nampak tenang, gembira dan tidak ketinggalan juga yang nampak gugup dengan cara mereka yang tersendiri.

Antara kelebihan yang menyeronokkan juga bila berada di barisan hadapan ialah gambar-gambar kita akan ada dalam shots para jurugambar sebelum dan ketika larian dimulakan. Pada kali ini, saya juga bernasib baik kerana banyak gambar saya ada dalam shots jurugambar larian ET Yey ketika di garisan FO.

...6,7, 8,9,....go!

Para peserta dilepaskan

Dengan seronok dan terujanya semua pelari memulakan larian
Larian trail saya kali ini
Larian dilepaskan dengan lancar dan semua pelari melalui permukaan jalan raya ke sebelah kiri Taman Rimba Kiara sejauh lebih kurang 500 meter sebelum membelok ke kiri lagi ke arah jalan yang mula berbukit walaupun masih jalan bertar. Pada ketika ini larian saya hanya seperti biasa dan tenang sahaja kerana saya tidak mahu membazirkan tenaga di laluan berbukit pada peringkat awal larian ini. Memasuki 1km yang pertama, barulah larian bermula di laluan trail atau off road.Saya pun memasuki kawasan laluan larian dan hutan Bukit Kiara buat kali pertamanya dalam hidup saya.

Sepertinya yang saya jangkakan pada awalnya, laluan trail kali ini akan ada laluan-laluan berbukit dan menurun bukit selain daripada laluan-lauan di sepanjang lereng-lereng bukit yang agak sempit. Seperti yang dijangkakan juga, tiada laluan yang memerlukan para pelari merentasi laluan berair yang dalam seperti sungai keran Bukit Kiara terletak di dalam bandar secara umumnya. 

Segala-galanya seperti yang saya jangkakan pada beberapa km pertama selepas menerokai Bukit Kiara dengan berlari sehingga cabaran yang sebenarnya mula menguji minda dan  fizikal saya. Jika pada kebiasaannya ketika larian di jalan biasa, saya hanya akan minum air pada WS pada atau selepas 5km tetapi pada kali ini, saya sudah minum air botol kecil pertama saya pada jarak 2km lebih sahaja. 

Pada masa yang sama juga, NRC Apps saja mula berada dalam mode pause pada tempoh yang lebih lama daripada biasa dengan lebih kerap selepas 3-4km jika saya tidak silap. Selepas itu saya rasa saya tidak boleh lagi berharap kepada NRC untuk memberitahu saya jarak atau pace sebenar larian saya.

Saya tidak ingat pada km ke berapa saya berjumpa semula dengan Alzmer yang pada mula berada di hadapan saya.Yang saya ingat sebelum itu, dia berada di depan saya selepas larian dimulakan. Yusmadi juga telah memotong saya sebaik saja kami mahu memasuki kawasan trail dan selepas itu saya memotong dia semula pada km terawal selepas itu. 

Kemudian dia memotong saya semula di pertengahan jalan selepas itu ketika saya sudah pun mula kepenatan untuk terus memecut. Pada ingatan saya, ujian sebenar laluan trail Bukit Kiara bermula selepas 5km di mana laluan berbukit satu demi satu perlu digagahi oleh setiap pelari untuk sampai ke setiap km yang seterusnya.

Saya jatuh tersembam juga akhirnya pada satu laluan membelok di checkpoint. Ketika mata dan tindakbalas saya sentiasa bersedia untuk mempastikan langkah-langkah saya kekal firm ketika menuruni laluan menurun bukit yang licin dan berbatu permukaannya, saya terjatuh pula di tempat yang langsung saya tidak sangka.

Tapak kaki kanan saya tergelincir pada permukaan simen yang licin pada laluan membelok di checkpoint itu ketika saya sampai unti membelok di situ.Mujurlah saya terjatuh dengan otot paha kanan saya dulu yang mencecah permukaan simen itu dan tidak terkena tulang pinggul atau lutut saya dulu.Nasib baik juga tindakan reflect pantas tangan saya dapat menongkah permukaan simen dengan tapak tangan kanan saya untuk mengelakkan bahagian badan atau bahu saya pula tersembam ke permukaan simen itu.

Saya bangun dengan serta-merta dan teruskan larian kerana saya tidak rasa apa-apa yang sakit sangat untuk berhenti berlari ketika itu.Namun beberapa ratus meter selepas itu baru saya terasa sakit sedikit pada otot buku lali kaki kanan saya yang tergelincir tadi.Walaupun bagaimana pun sakitnya tidaklah sampai saya tidak boleh teruskan larian. Saya cuma perlahankan dan lebih minimakan tekanan pada bahagian itu ketika terus berlari dan berjalan selepas itu.

Strategi saya ketika menempuhi laluan yang cerun dan berbukit itu ialah dengan hanya berjalan mendaki pada setiap laluaan dengan cerun-cerun yang menaik dan berlari pada setiap laluan menurun dengan berhati-hati.

Alzmer akhirnya berlari bersama-sama saya selepas saya bertemu semula dengan dia selepas itu.Tanpa panduan yang sebenar tentang jarak yang masih saya perlu lalui untuk habiskan larian itu, saya buat keputusan untuk kekal tenang dan lari dengan selesa pada laluan yang mendatar, hanya mendaki dengan perlahan bagi laluan yang berbukit yang semakin curam satu demi satu dan terus berhati-hati ketika berlari menuruni laluan menurun yang juga curam, licin dan ada kalanya berbatu dengan akar-akar dan dahan-dahan pokok jatuh yang melintangi laluan.

Alzmer pun kata yang dia hanya akan ikut berlari dan berjalan bersama saya saja untuk habiskan larian pada kali ini. Saya nampak pun dia sudah mula tercungap-cungap sepanjang larian seperti saya.
Pada setiap WS, saya berhenti untuk minum dan isi semula botol air saya.

Selepas melepasi sesetengah laluan yang curam, saya berhenti untuk minum air dan juga menenangkan badan dengan bernafas secukupnya dengan lebih selesa sebelum teruskan semula larian. Bila sudah berlari dan berjalan dalam keadaan tiada tekanan tentang masa, saya ambil juga ambil beberapa gambar untuk merekodkan pengalaman larian saya pada kali ini.

Pada sepanjang laluan kali ini juga terdapat juga sedikit-sedikit laluan berlumut dan berair.Ada juga pada sesetengah laluan terdapat jambatan-jambatan kecil yang diperbuat daripada kayu dan mesti dilalui oleh setiap pelari.

Jika tidak berhati-hati dengan pandangan mata dan dengan kelajuan ketika berlari, permukaan ini amat berisiko di mana dengan mudah para  pelari boleh tergelincir dan terjatuh. 

Perlu diingat bahawa jika kita tergelincir dan terjatuh pada laluan trail, yang menunggu badan kita ialah batu-batu, tunggul kayu dan jurang yang kita pun tidak tahu apa yang menanti di bawahnya.

Maksud saya di sini ialah risiko kecederaan akibat terjatuh dalam larian trail adalah lebih teruk berbanding larian di jalan biasa!
 
Akhirnya, selepas melalui laluan menurun yang agak panjang , kami di sambut oleh seorang petugas lelaki di satu checkpoint yang memandang kami sambil tersenyum dan tangannya menunjukkan kami ke arah satu lagi laluan berbukit yang saya nampak jauh lebih curam.

"Ini bukit yang  last bang.Keep it up bang.You are almost there to finish it!"
Begitulah lebih kurang kata-katanya yang saya dengar jika saya tidak silap. Saya dan Alzmer berhenti sekejap dan tiba-tiba saya terfikir untuk mengambil gambar.Saya minta tolong petugas tadi mengambilkan gambar kami menggunakan smartphone saya.

Gambar-gambar di bawah ialah di checkpoint  tersebut dan jangan terpedaya dengan senyuman kami itu kerana ia hanya untuk gambar kerana pada ketika sebenarnya tahap kepenatan sudah pun hampir separuh nyawa rasanya.



Kemudian kami teruskan larian dan hakikatnya pada sepanjang laluan itu, saya dan orang lain bukan lagi berlari sebenarnya.Saya cuma mendaki lereng-lereng Bukit Kiara dan ketika inilah kekuatan otot-otot pada joints bahagian bawah badan saya dimaksimakan penggunaannya.
Tangan saya akan berpaut pada akar-akar dan batang-batang atau dahan-dahan pokok yang tangan saya dapat capai untuk membantu saya mengangkat badan saya ke atas untuk menaiki cerun itu. Ketika itu saya rasa saya bukan lagi menyertai acara larian trail tetapi seperti mendaki Gunung Datuk di Rembau lebih kurang setahun yang lepas. Pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya juga.

Saya juga ada membuat sedikit bising dengan menjerit kepada diri saya ketika menangani laluan-laluan berbukit dan cerun pada larian ini.Ada ketikanya jeritan-jeritan saya disambut oleh pelari-pelari lain di hadapan dan di belakang saya.

Ketika mendaki untuk melepasi laluan berbukit yang terakhir itu adalah saat kemuncaknya saya memerah segala kekuatan otot-otot dan tenaga saya yang ada. Sebaik sahaja sampai pada checkpoint selepas itu, saya dimaklumkan kami sudah sampai lebih kurang 2km lebih saja lagi ke garisan penamat dan laluan seterusnya ialah laluan menurun bukit sahaja.

Dengan keadaan otot badan yang sudah diperah dan didesak semahunya dan tenaga yang ada hanya sudah pada tahap yang hampir habis secara fizikal dan mental ketika itu, laluan menurun bukit bukanlah lagi satu cabaran yang lebih ringan daripada sebelum itu.

Dengan otot-otot kaki yang sudah semakin penat, saya tahu saya perlu lebih berhati-hati untuk menangani laluan menurun bukit itu.Saya juga kerap berpesan kepada Alzmer supaya take it easy dan berhati-hati ketika berlari bersama-sama dengan saya. Ada pada satu tempat dia terjatuh juga ketika kami menuruni satu lalun curam di lereng bukit itu.Mujurlah dia tidak cedera.

Ada ketikanya saya beralih ke tepi laluan ketika berlari untuk memberi laluan kepada para pelari lain yang lebih pantas agar mereka boleh memotong dan meneruskan larian mengikut kelajuan mereka.

Saya rasa bernasib juga pada larian kali ini kerana gambar saya ada juga dalam shots ET Tey ketika saya dan Alzmer berlari menuruni laluan berbukit ketika kami semakin menghampiri garisan penamat.












Sebaik sahaja saya mahu memasuki 1km terakhir ke arah kawasan Taman Rimba Kiara, tiba-tiba saya ternampak seorang pelari di hadapan saya berhenti sambil berpaut pada sebatang pokok.Mukanya nampak dalam kesakitan dan melihat pada kaki beliau. 

Saya berhenti dan memegang bahu dia dan bertanya adakah dia tidak apa-apa.Dia tidak menjawab tetapi sebaliknya tiba-tiba dia menjerit kesakitan.Saya tahu dia sudah kena kejang otot atau cramped.Saya tolong tahan dia daripada rebah dengan menyendal lengan dia atas bahu saya pada sebelah kanan saya mintak Alzmer pegang di sebelah kiri. Kemudian saya cuba baringkan badan dia dan minta Alzmer cuba alas kepala dia atas peha dia.Saya kata pada pelari tu pastikan kaki kanannya yang tegang itu kekal lurus ketika saya baringkan dia.

Apa yang saya ingat ialah untuk berikan rawatan segera untuk tegang otot yang saya tahu supaya dia boleh bangun semula selepas itu.Selepas baringkan dia selepas saya tanggalkan kasut dia, saya tolak tapak kakinya yang tegang itu 90 darjah tegak dengan tangan kanan saya sambil kakinya kekal dalam keadaan lurus.Pada masa yang sama tangan kiri saya memicit-micit otot betisnya yang tegang itu sambil dia masih lagi menjerit kesakitan.Saya cuba tenangkan dia supaya otot-otot kaki dia juga boleh rasa lega sikit. 

Agak tidak bernasib baik kerana kebetulan ketika itu kedua-dua botol air saya sudah pun kosong dan begitu juga dengan energy gel saya yang sudah juga habis untuk saya beri pada dia. Dia berumur 50 tahun dan katanya dia sangat-sangat bertuah pada ketika tu kerana saya dan Alzmer membantu.Saya katakan pada dia jangan fikirkan sangat pasal itu kerana dia pun pasti akan buat perkara yang sama pada pelari lain juga. 

Selepas lebih kurang 1-2 minit dia mula rasa sedikit lega dan perlahan-lahan dia cuba untuk berdiri dan berpegang pada pokok tadi.Selepas 1-2 minit dia kata boleh cuba berjalan.Dia kata dia boleh berjalan sendiri tetapi saya dan Alzmer buat keputusan untuk sama-sama memapah dia berjalan sebab laluannya agak curam juga selepas itu.

Selepas memapah dia  sejauh lebih kurang 200m,dia kata boleh berjalan sendiri dan setelah saya tengok dia betul-betul pasti dan juga insisted boleh teruskan sendiri, saya dan Alzmer teruskan larian kami ke garisan penamat. Mungkin kami telah mengambil masa untuk membantu uncle tetapi untuk melihat dia meneruskan dan menamatkan larian pastinya sesuatu yang lebih bermakna pada saya.

Menuju ke garisan penamat
Saat-saat langkah saya mula menghampiri dan berlari di laluan ke garisan penamat ialah saat-saat ketika hormon adrenalin mula menguasai minda dan fizikal saya. Ketika itu juga saya menjadi semakin teruja dan bersemangat bila bunyi pembesar suara dan suasana kemeriahan di garisan penamat mula kedengaran makin jelas di telinga.

Memang laluan larian trail Bukit Kiara benar-benar mencabar saya sehingga ke penghujungnya.Laluan terakhirnya ialah cerun yang agak curam dan dalam keadaan kepenatan para pelari masih perlu menuruni laluan itu dengan berhati-hati hingga jarak kurang daripada 50 meter daripada garisan penamat.Sekali lagi saya bernasib baik kerana saat-saat saya menuruni laluan itu dapat dirakam oleh jurugambar Seven Chiam Hooi See.




Saat-saat menghabiskan laluan trail dan menuju ke garisan penamat
Akhirnya saya dan Alzmer sama-sama berjaya menamatkan larian Kiara Conquer The Trail 2017.Pada ketika itu, saya langsung terfikir tentang berapa lama masa saya tamatkannya kerana rasa terlalu teruja keran berjaya menamatkannya.Ia cuma 13km tetapi tenaga dan kekuatan telah saya gunakan rasanya seolah-olah untuk menamatkan satu larina separa marathon sekurang-kurangnya. Dengan serta-merta larian 16km Semenyih Eco Trail Run yang saya sertai pada 2016 telah jatuh ke tangga ke-2 daripada segi cabarannya dalam carta larian trail saya setakat ini.


Saat-saat melepasi garisan penamat larian trail yang paling mencabar bagi saya setakat ini.


 

Sebaik sahaja melepasi garisan penamat, saya terus mencari air untuk membasahkan tekak dan  untuk menyegarkan badan saya semula. Kemudian saya terfikir semula uncle yang saya tolong kerana saya mahu juga tahu sama ada dia berjaya tamatkan larian atau tidak. Saya juga amat gembira bila tidak lama selepas saya berehat seketika, saya nampak dia berjalan di kawasan penamat larian.Saya pergi ucapkan tahniah kepaa beliau dan pada masa yang sama amat kagum dengan semangatnya.

Selepas itu saya berjumpa juga kawan-kawan yang lain yang sudah menamatkan larian dan bergambar bersama. Dapat juga berjumpa pada pertama kali dua orang kawan-kawan di FB iaitu Ken Lee dan Lim Chi Hing sebelum saya meninggalkan tempat acara pada hari itu.
Tahniah Alzmer! We have done it!

Dengan uncle yang mengalami cramped ketika larian itu

Dengan Yusmadi dan dua orang kawan baru
Ken Lee

Medal istimewa daripada cabaran di Bukit Kiara

Pengurusan dan pelaksanaan acara
Bagi saya segalanya lancar dan dipermudahkan sejak pada masa saya mengambil pek larian pada hari Sabtu minggu sebelumnya.Ketika itu saya diberitahu hanya lebih kurang 700 sahaja pelari yang mengambil bahagian kali ini.

Daripada permulaan di FO, semuanya agak baik bagi saya kecuali ada masalah teknikal pada sistem pembesar suara ketika taklimat oleh pengarah larian dan ketika pelepasan mahu dilakukan.

Tanda-tanda penunjuk arah yang berwarna kuning dengan simbol anak panah pada setiap simpang atau tempat untuk membelok saya nampak dengan jelas di sepanjang laluan.Semua petugas di setiap checkpoint dan WS juga amat peramah dan sentiasa tersenyum sambil memberi kata-kata semangat kepada para pelari untuk meneruskan larian di pertengahan laluan sehingga ke laluan penamat.

Suasana ketika saya sampai di kawasan penamat juga agak tenang dan tidak berapa sibuk ketika saya sampai.Ada juga disediakan sandwich dan air kosong untuk para pelari yang sudah sampai dan terdapat juga air tenaga yang disediakan percuma oleh penaja yang terlibat.

Secara keseluruhannya saya rasa acara dilaksanakan dengan daripada segi kemudahan dan langkah-langkah keselamatan untuk para pelari.Saya rasa itu juga sebabkan bilangan peserta dihadkan kepada jumlah yang tertentu sahaja.

Selain daripada itu, suasana bersama pelari-pelari juga ada kalanya terasa seperti menyertai acara antarabangsa kerana kelihatan agak ramai orang-orang asing berkulit putih yang menyertainya. Ini mungkin kerana mereka  datang dari kawasan sekitar Kuala Lumpur seperti Bangsar, Bukit Kiara dan Hartamas yang memang terkenal menjadi tempat tinggal ramai expatriates dari pelbagai negara.

Saya tinggalkan Taman Rimba Kiara ketika jam sudah melepasi 10.30 pagi kerana saya perlu ke pejabat sekejap selepas itu untuk menyelesaikan sedikit kerja sebelum mula hari bekerja hari Isnin. Otot-otot pada lutut dan buku lali saya makin terasa sakitnya tetapi benarlah kata-kata sesama para pelari yang saya selalu baca dan dengar.

" The pain is temporary but the pride is forever "

In my case this time I left with this my mind...

"I came  for the first time, I experienced the pain and I finally I have conquered Bukit Kiara!"


Keputusan rasmi masa larian saya dan saya amat berpuashati dengannya
Sudah pastinya saya akan berlari lagi dalam acara-acara larian trail pada masa akan datang kerana ia memang mengujakan sambil menikmati kesegaraan dan keindahan alam semulajadi. Ada kawan-kawan yang mencadangkan saya mencuba  larian trail ultra pula selepas ini sebagaimana mereka juga mencadangkan saya menyertai acara ultra marathon juga selepas saya berjaya menamatkan larian marathon penuh saya baru-baru ini.

Dalam perancangan saya sekarang, saya hanya akan cuba berlari dalam acara larian sehingga jarak 25km sahaja. Tujuan saya cuma mahu menguji lebih sedikit lagi untuk tahu adakah tahap kesihatan dan kecergasan saya mampu menanganinya sebagaimana niat saya ketika mahu mencuba larian marathon penuh 42km sebelum ini. Bagi acara larian jalan biasa pula, jarak 42km ialah jarak yang paling jauh yang saya akan cuba dan telah pun berjaya menamatkannya pada Ahad minggu lepas.

Ada yang bertanya kenapa tak cuba. Jawapannya mudah saja, objektif dan sasaran utama saya menyertai acara-acara larian dan terus berlari secara consistent sebagai amalan rutin ialah hanya untuk mempastikan saya dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan yang baik untuk diri saya.

Larian ialah bukan cara untuk saya mencabar secara melampaui badan dan tahap kecergasan saya dan saya sudah pun mencapai semua objektif dan sasaran saya dengan jarak-jarak larian yang telah saya rancangkan  dan ada yang telah berjaya saya laksanakan dan capai satu persatu. Walaubagaimana pun saya tetap kagum dan hormat dengan komitmen dan semangat mereka yang mencuba dan berjaya menawan jarak larian-larian ultra itu kerana hakikatnya tidak semua orang mampu melakukannya. 

Pada tahap ini saya rasa saya boleh lebih fokus untuk memikirkan berapa lama lagi saya boleh berlari untuk saya kekal dan cergas dalam hidup saya berbanding memikirkan jarak larian apa lagi yang saya mesti cuba dan tamatkan. Untuk acara  trail pada tahun 2017, saya masih lagi menunggu  untuk mendaftar dalam mana-mana acara larian trail 25km yang sesuai dengan kalendar larian saya pada tahun ini.

Hingga jumpa lagi di acara larian trail yang seterusnya...Hulu Langat Trail Run pada 2 April 2017.